33 lori balak ditahan dalam Ops Limau

ROMPIN: Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menahan 33 lori balak yang melakukan kesalahan memiliki pas pemindahan melebihi 24 jam sepanjang lima hari Ops Limau, di sini, hari ini.

Operasi terbabit juga berjaya mengesan dua kes pencerobohan di Hutan Simpan Kechau, Lipis dan Hutan Simpan Iban, di sini dan merampas sebuah jengkaut.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, operasi sempena musim perayaan itu turut membabitkan agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, Ops Limau diadakan membabitkan aktiviti sekatan jalan raya di 'laluan panas' di seluruh negeri yang sering digunakan sebagai laluan memindahkan kayu balak tanpa lesen dan pas pemindahan.

"Selain menumpukan laluan utama di negeri ini kita juga turut membuat sekatan jalan raya dibeberapa jalan negeri dan Persekutuan termasuk membabitkan jalan bersempadan dengan Pahang," katanya pada majlis penutup Ops Limau di stesen penguatkuasa timbang JPJ Palong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Pahang, Mohd Rahim Ramli.

Mohd Hizamri berkata, Ops Limau itu disertai seramai 120 anggota penguatkuasa jabatan itu, JPJ dan PDRM dan sekatan jalan raya dilakukan waktu malam dan siang.

Beliau berkata,pihaknya akan terus melakukan operasi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) penguatkuasa bagi mengesan dan melumpuhkan aktiviti kesalahan hutan diatas jalan raya dan kawasan hutan.

"Pada tahun lalu, pihaknya mengesan 44 kes kesalahan pencerobahan dan memindahkan hasil hutan di kawasan hutan simpan, hutan kerajaan dan hutan tanah milik.

"Bagi tempoh sama, kita mengumpul hasil denda dan kompaun membabitkan pelbagai kesalahan hutan sebanyak RM1.7 juta," katanya.

Sumber : Berita Harian oleh Mohd Rafi Mamat
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Kegiatan Pindah Balak Secara Haram Tumpas

Rabu, 31  Januari 2018 - Tindakan pantas 20 anggota Unit Penguat Kuasa Pejabat Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran berjaya memintas kegiatan memindahkan 22 balak bernilai lebih RM 50 ribu secara haram dari kawasan  Hutan Simpan Temelong, Maran, kelmarin.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamaruddin berkata dalam operasi bermula jam 9.00 malam itu, pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia 50-an dan turut merampas jengkaut, lori kenderaan pacuan empat roda dan mesin memotong kayu bergergaji.
Jenis Kayu yang cuba dibawa keluar menggunakan laluan tikus di Kg. Luit, Maran ialah seraya, kempas dan meranti seraya.

Katanya sindiket terbabit dipercayai berpengalaman melakukan kegiatan menebang dan memindahkan balak serta memiliki peralatan lengkap bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

Sindiket Curi Balak

" Musim tengkujuh digunakan sindiket mencuri balak untuk melakukan aktiviti menebang pokok. Aktiviti memindah balak menggunakan lori pula akan dilakukan selepas berakhirnya musim itu dan dijalankan pada waktu malam," katanya di sini semalam.

Balak dan jentera yang dirampas disita di pusat penyimpanan barangan kes di Pejabat Hutan Ladang Kemasul di sini.

Ismail berkata, "pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan pemeriksaan bagi menangani kegiatan mencuri hasil hutan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan, selain merosakkan alam sekitar apabila aktiviti penebangan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

" Justeru, saya meminta kerjasama erat masyarakat stempat termasuk Orang Asli melaporkan segera kegiatan mencuri balak di kawasan masing-masing.

" Selain itu, kita akan mempergiatkan aktiviti rondaan di kawasan panas selain melakukan sekatan jalan raya dan intipan." katanya.

Kursus Pengendalian Motorcross

Usaha mengesan kegiatan pencerobohan hutan akan menjadi lebih berkesan dengan penggunaan motorcross berkuasa tinggi oleh individu mahir mengawal jentera terbabit dalam apa juga keadaan.
Justeru untuk menambahkan lagi kemahiran golongan terbabit seramai 30 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) termasuk 15 anggota Unit Penguatkuasa (UPK) JPNP menyertai kursus pengendalian motorcross di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing di sini, kelmarin.
Peserta Shaiful Nizam Abu Samah, 45 berkata, banyak pengalaman diterima sepanjang tiga hari kursus diadakan terutama membabitkan teknik menunggang motorcross dengan betul ketika menaiki dan menuruni bukit.
Menurutnya, kegagalan menunggang motorcross dengan betul akan mengundang kepada kejadian tidak diingini seperti terjatuh dan gagal mengawal dengan jentera dengan
berkesan.
"Sepanjang kursus dua kali saya terjatuh ketika menaiki bukit dan pengalaman itu banyak mengajar saya cara mengawal jentera dengan betul terutama dalam keadaan jalan
yang tidak rata serta berbukit.
"Kecergasan dan kekuatan mental juga penting pada individu yang terbabit melakukan rondaan menggunakan motorcross terutama apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran serta rintangan," katanya yang bertugas dengan UPK Pahang Timur.
Beliau berkata, selain latihan mendaki dan menuruni bukit berbatu peserta juga turut berhadapan ujian melalui jalan berlumpur sejauh kira-kira 400 meter serta menunggang
dalam hujan.
Shaiful Nizam berkata, kursus julung kali diadakan itu diharap dapat memberi kemahiran dan pengalaman kepada peserta yang bertanggungjawab melakukan pemantauan terhadap aktiviti pencerobohan hutan di negeri ini.
Bagi Shaharuddin Osman,45 yang bertugas dengan UPK Pahang Barat berkata, pengalaman menunggang motorcross sejauh lima kilometer dilaluan bekas kawasan pembalakan yang berbukit antara ujian yang begitu mencabar sepanjang kursus.
"Selain latihan dilapangan peserta juga turut didedahkan dengan aktiviti membaiki kerosakan kecil pada jentera ketika berada di dalam hutan seperti menukar tayar bocor
dan minyak hitam.
"Saya kini lebih yakin untuk melakukan rondaan di dalam hutan bagi mengesan kegiatan pencerobohan hutan selain aktiviti pemeriksaan sempadan kebun sayur di Cameron
Highland," katanya.
Penolong pengarah latihan perhutanan PLPP Haffiz Baharuddin berkata, kursus kali pertama diadakan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kakitangan JPNP terhadap teknik menunggang motorcross di dalam hutan.
"Tunjuk ajar secara teori dan praktikal diberikan jurulatih profesional Ayub Basri memberi lebih kefahaman kepada peserta, semangat tinggi ditunjukan peserta apabila
masing-masing menunggang motorcross.
"Kini JPNP mempunyai tujuh unit motorcross yang ditempatkan di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong, Raub dan Cameron Highland. Tahun hadapan empat unit lagi akan diterima," katanya yang akan menganjurkan kursus sama tahun hadapan.

Program Tanam Pokok di Tasik Chini

Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Pahang menanam sebanyak 80 pokok jenis bintangor laut yang disumbangkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Sempena Program Kesukarelawaan IM4U di Tasik Chini, Pekan.
Aktiviti menanam pokok dilakukan secara gotong-royong dikalangan ahli persatuan berkenaan yang dibantu kakitangan Bahagian Pembangunan Hutan Pejabat Hutan Bukit Sekilau, Kuantan.
Timbalan Pengerusi Dua PUSPANITA Datin Harlina Arshad berkata,ini kali pertama pihak mengadakan aktiviti menanam pokok sebagai antara usaha menjaga alam sekitar dan menghijaukan bumi.
"Kita akan terus mengadakan program menanam pokok dengan kerjasama JPNP pada masa akan datang, rata-rata ahli berminat dengan aktiviti berkenaan," katanya.

Save Our Mangroves

15 Disember 2017, Kuantan: Kesedaran terhadap kepentingan hutan bakau di daerah ini dibuktikan dengan penganjuran program 'Save Our Managroves' oleh MIECO Manufacturing Sdn Bhd di kawasan Hutan Simpan Paya Laut Cherating di sini, kelmarin.
Program kali pertama dengan kerjasama Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran itu membabitkan aktiviti mencari benih pokok bakau dan menanamnya secara gotong-royong.
Pengurus sumber manusia MIECO Manufacturing Abdul Wahab Mohamad berkata, sebanyak 200 pokok bakau ditanam pada program itu yang diharap menjadi benteng penahan hakisan tebing Sungai Cherating.
Menurutnya, pembabitkan komuniti pengurusan sumber perikanan Cherating, Jabatan Alam Sekitar dan anak yatim rumah D'nasti di sini menambahkan lagi keceriaan program kesedaran alam sekitar itu.
Katanya, pada program itu turut diadakan ceramah kesedaran terhadap kepentingan mengekalkan dan pemuliharan hutan bakau atau paya laut yang hanya terdapat di daerah ini, Pekan dan Rompin.
"Kakitangan MIECO Manufacturing, anak yatim dan kakitangan PHD Kuantan, Pekan dan Maran turut dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Cherating bagi melihat sendiri taburan pokok bakau dan beberapa spesies lain.
"Kepakaran kakitangan PHD Kuantan, Pekan dan Maran banyak membantu menjayakan program, mereka membantu mencari benih pokok bakau seterusnya turut sama membantu menanam," katanya.
Beliau berkata, program kesedaran kepentingan hutan bakau akan terus diadakan pada masa akan datang sebagai usaha membantu kerajaan mengekalkan kehijauan negara selain mengawal kejadian hakisan.
Sementara itu penolong pegawai PHD Kuantan, Pekan dan Maran Norlaila Mohd Subari berkata, usaha MIECO Manufacturing mengadakan program kesedaran kepentingan hutan bakau seharusnya menjadi contoh kepada syarikat swasta lain.
Menurutnya, aktiviti menanam pokok bakau dan beberapa spesies lain dilakukan Jabatan Perhutanan Pahang bagi memastikan tidak berlaku kejadian hakisan sungai yang boleh menyebabkan banyak kerugian.
"Kita sentiasa bekerjasama dengan syarikat swasta bagi menjayakan program alam sekitar terutama membabitkan aktiviti penanaman pokok bakau dan spesies lain yang sesuai ditanam di kawasan paya laut.
"Jabatan turut terbabit dengan aktiviti menanam pokok ru dipesisir pantai termasuk pelbagai jenis balak di kawasan hutan bekas lesen di negeri ini," katanya yang akan terus berusaha menambah program penanam pokok.

Info Jabatan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Tingkat 5, Kompleks Tun Razak,
Bandar Indera Mahkota, 25990 Kuantan,
Pahang, Malaysia.
Tel: +(609) 5732911
Fax: +(609) 5736152
Emel: forestry[at]pahang[dot]gov[dot]my

     

Paparan & Statistik Pelawat

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Selasa 17 September 2019.
Hari Ini 129
Semalam 289
Minggu Ini 595
Bulan Ini 3254
Jumlah Pelawat 64427

Test

sasasasasasasasa