Program Perhimpunan Bulanan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

Program Perhimpunan Bulanan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
20 Ogos 2019 (Selasa)
Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan

Sempena program perhimpunan ini, Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Dato' Dr. Mohd Hizamri bin Mohd Yasin mengambil kesempatan memperkenalkan barisan pegawai baru yang bertukar masuk ke JPNP bermula 1 Ogos 2019 seramai 9 orang.

Program perhimpunan ini turut menyaksikan 103 orang kakitangan telah menerima Anugerah Pekerja Terbaik Bulan Mei, Jun dan Julai 2019, selain meraikan hari ulangtahun kelahiran juga bagi bulan Mei, Jun dan Julai 2019.

Sempenan bulan kemerdekaan, lagu keramat Tanggal 31 dinyanyikan bersama-sama sebagai penutup program yang telah berlangsung dengan jayanya semalam.

 

JPNP Kuat!
JPNP Hebat!

RunWild in Chamang

Sekali lagi RunWild in Chamang telah berjaya dianjurkan di Taman Eko-Rimba Chamang, Bentong pada 14 Julai 2019. Antara program yang telah berlangsung secara serentak di sini adalah pameran perhutanan, kuiz perhutanan dan juga aktiviti flying fox. 

Program 100 Pendaki, 100 Tahun Bukit Fraser

RAUB, 28 April 2019 - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menyertai Program 100 Pendaki, 100 Tahun Bukit Fraser bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Bukit Fraser yang ke-100.

Program ini dirasmikan oleh KDYAM Yang Dipertuan Agong tepat jam 9.00 pagi di Menara Jam Bukit Fraser yang mana ianya melibatkan 100 peserta yang terdiri dari Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Kelab Media Pahang, Badan-badan Bukan Kerajaan serta penduduk tempatan.

JPNP telah menghantar 6 orang peserta yang diketuai oleh En. Shahril Mohamad, Pegawai Hutan Daerah Raub dan kesemua wakil JPNP telah berjaya menawan puncak Pine Tree, 1448 meter dari aras laut tepat pada jam 1.30 petang.

Program Pemasangan Papan Tanda di 'Pine Tree Hill' dan 'Twin Peak

Program Pemasangan Papan Tanda di 'Pine Tree Hill' dan 'Twin Peak' sempena Sambutan 100 Tahun Fraser Hill anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Persatuan Komuniti Pendaki Pahang telah berjaya dilangsungkan pada 6 April 2019. 

Terima kasih juga diucapkan kepada Pejabat Hutan Daerah Raub dan Kelab Rekreasi Darul Makmur yang sama-sama menjayakan program ini.

Perutusan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang Sempena Sambutan Tahun Baru 2019

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, 

 

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan izinNya, tahun 2018 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Di kesempatan ini saya mengambil ruang dan peluang untuk mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh warga kerja Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di atas komitmen, keazaman dan kerja keras berpasukan yang ditunjukkan dalam melaksana segala tugas yang telah diamanahkan sepanjang tahun 2018. 

 

Sepanjang tahun 2018 ini, pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah dikecapi yang telah membantu meningkatkan imej JPNP ke satu tahap lagi.  Di antara rangkuman kejayaan utama yang telah kita perolehi adalah :

  1. Pengekalan Sijil Pengurusan Hutan di bawah Malaysian Criteria And Indicators For Forest Management Certification (MC&I) Sejak 2002 sehingga kini. Pensijilan ini sememangnya amat penting agar segala produk kayu-kayan yang berasal dari Negeri Pahang dapat terus dijual di pasaran antarabangsa;
     
  2. JPNP dengan kerjasama pelbagai Agensi Penguatkuasa Negeri telah berjaya mengadakan sebanyak tujuh (7) Operasi Bersepadu (Ops Limau, Ops Bera, Ops Ibam 1.0 dan 2.0, Sekatan Jalanraya Sempadan Negeri, Ops Lombong 3.0 dan Ops Gading) bagi membanteras kesalahan hutan yang melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Antara aktiviti yang dijalankan semasa operasi adalah semakan kawasan kelulusan (lesen atau permit), sekatan jalanraya,  semakan transit, Balai Pemeriksaan Hutan, rondaan sempadan luar HSK dan lain-lain aktiviti penguatkuasaan yang berkaitan;

  3. Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan kawasan seluas ±50,000 hektar Hutan Simpanan Kekal bagi menjalankan Projek Penghutanan Semula. Projek ini akan dilaksanakan secara integrasi dan holistik untuk menggalakkan, meningkatkan dan memodenkan industri penghutanan semula secara berkekalan di Malaysia khususnya di Negeri Pahang. Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Penghutanan Semula Di Dalam Hutan Simpanan Kekal di antara Kerajaan Negeri Pahang Dengan Landasan Erajaya Sdn. Bhd. telah diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2018.

  4. Satu produk inovasi JPNP iaitu Sistem TechnoLog telah diperkenalkan dan digunapakai pada pertengahan tahun ini. Sistem yang menggunakan imbasan tag QR kod ini akan menggantikan proses manual yang sedia ada bagi pengukuran kayu dan pengeluaran pas pemindah di Balai Pemeriksaan Hutan (BPH). Ini dapat menjimatkan bilangan, masa dan tenaga kakitangan yang bertugas di BPH. Melalui sistem ini juga, isipadu, kadar royalti dan jumlah cukai dikira secara automatik. Rekod kutipan hasil melalui sistem ini adalah lebih tepat dan ketirisan pengeluaran kayu dapat dicegah; 

  5. Penyerahan Permit Penggunaan kepada pengusaha-pengusaha kebun bagi kawasan pemutihan HSK di daerah Raub dan Cameron Highlands telah pun diadakan. Bagi daerah Raub, Majlis Penyerahan Permit Penggunaan adalah pada 10 Disember 2018 yang melibatkan lapan (8) permit penggunaan manakala bagi daerah Cameron Highlands pula adalah pada 12 Disember 2018 yang melibatkan 51 permit penggunaan. Kelulusan permit penggunaan ini adalah mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan dan dianggotai oleh pelbagai agensi teknikal di peringkat Negeri; dan

  6. JPNP telah berjaya memungut Hasil Kutipan Cukai sebanyak RM105 juta. Jumlah kutipan ini telah melebihi daripada kutipan yang telah disasarkan pada awal tahun. Kutipan cukai yang diterima adalah daripada hasil Premium, Royalti, Ses dan lain-lain. Peningkatan hasil yang  diterima ini juga adalah tidak melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) Jabatan yang telah ditetapkan.

Untuk tahun 2019 ini, perancangan dengan strategi yang lebih kreatif dan inovatif perlu difikir dan dilaksanakan agar misi dan visi Jabatan tercapai. Saya menyeru agar seluruh warga Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk terus mengamal dan membudayakan prinsip P.U.A.S (Prioritise, Urgency, Aggresiveness dan Strategize) sebagai amalan kerja sehari-harian dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. 

 

Selain itu juga, saya ingin mengingatkan agar semua warga Jabatan untuk terus menjaga imej Jabatan, sentiasa bekerja keras, mengekalkan semangat kerjasama erat, berdisiplin tinggi dan memasang tekad untuk lebih cemerlang. Masing-masing mempunyai peranan yang besar di dalam menjayakan pelaksanaan semua aktiviti dan objektif yang dirancang. 

 

Pelaksanaan agenda 2018 yang berjaya perlu diteruskan serta ditambah baik, manakala kelemahan yang dikenalpasti perlu diperbaiki dan kegagalan dijadikan teladan sebagai panduan pada masa hadapan. Semoga Tahun Baru ini membuka lembaran baharu untuk kita semua.