Kursus Pengendalian Motorcross

Usaha mengesan kegiatan pencerobohan hutan akan menjadi lebih berkesan dengan penggunaan motorcross berkuasa tinggi oleh individu mahir mengawal jentera terbabit dalam apa juga keadaan.
Justeru untuk menambahkan lagi kemahiran golongan terbabit seramai 30 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) termasuk 15 anggota Unit Penguatkuasa (UPK) JPNP menyertai kursus pengendalian motorcross di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing di sini, kelmarin.
Peserta Shaiful Nizam Abu Samah, 45 berkata, banyak pengalaman diterima sepanjang tiga hari kursus diadakan terutama membabitkan teknik menunggang motorcross dengan betul ketika menaiki dan menuruni bukit.
Menurutnya, kegagalan menunggang motorcross dengan betul akan mengundang kepada kejadian tidak diingini seperti terjatuh dan gagal mengawal dengan jentera dengan
berkesan.
"Sepanjang kursus dua kali saya terjatuh ketika menaiki bukit dan pengalaman itu banyak mengajar saya cara mengawal jentera dengan betul terutama dalam keadaan jalan
yang tidak rata serta berbukit.
"Kecergasan dan kekuatan mental juga penting pada individu yang terbabit melakukan rondaan menggunakan motorcross terutama apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran serta rintangan," katanya yang bertugas dengan UPK Pahang Timur.
Beliau berkata, selain latihan mendaki dan menuruni bukit berbatu peserta juga turut berhadapan ujian melalui jalan berlumpur sejauh kira-kira 400 meter serta menunggang
dalam hujan.
Shaiful Nizam berkata, kursus julung kali diadakan itu diharap dapat memberi kemahiran dan pengalaman kepada peserta yang bertanggungjawab melakukan pemantauan terhadap aktiviti pencerobohan hutan di negeri ini.
Bagi Shaharuddin Osman,45 yang bertugas dengan UPK Pahang Barat berkata, pengalaman menunggang motorcross sejauh lima kilometer dilaluan bekas kawasan pembalakan yang berbukit antara ujian yang begitu mencabar sepanjang kursus.
"Selain latihan dilapangan peserta juga turut didedahkan dengan aktiviti membaiki kerosakan kecil pada jentera ketika berada di dalam hutan seperti menukar tayar bocor
dan minyak hitam.
"Saya kini lebih yakin untuk melakukan rondaan di dalam hutan bagi mengesan kegiatan pencerobohan hutan selain aktiviti pemeriksaan sempadan kebun sayur di Cameron
Highland," katanya.
Penolong pengarah latihan perhutanan PLPP Haffiz Baharuddin berkata, kursus kali pertama diadakan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kakitangan JPNP terhadap teknik menunggang motorcross di dalam hutan.
"Tunjuk ajar secara teori dan praktikal diberikan jurulatih profesional Ayub Basri memberi lebih kefahaman kepada peserta, semangat tinggi ditunjukan peserta apabila
masing-masing menunggang motorcross.
"Kini JPNP mempunyai tujuh unit motorcross yang ditempatkan di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong, Raub dan Cameron Highland. Tahun hadapan empat unit lagi akan diterima," katanya yang akan menganjurkan kursus sama tahun hadapan.

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.