1. Hebahan FB berkaitan aktiviti perlombongan di Tasik Chini, Pekan, Pahang adalah menggunakan gambar lama yang pernah tular pada tahun 2019.

  2. Sejak tahun 2019, tiada kelulusan baru bagi aktiviti melombong di Tasik Chini, malah Kerajaan Negeri Pahang mula mempergiatkan usaha memulihkan kawasan lombong dengan memperuntukkan sebanyak RM250,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Lima Puluh Ribu) melalui Kumpulan Wang Pemulihan Lombong. Peruntukkan ini dibelanjakan bagi membaikpulih kawasan lombong terutamanya di kawasan buffer zone seluas lebih kurang 13.12 hektar dengan pelbagai spesies buluh, tanaman tutup bumi dan juga spesies komersial bernilai tinggi yang sesuai iaitu pokok Merawan Siput Jantan serta pokok Meranti Temak Nipis.

  3. Kerajaan Negeri Pahang juga mengambil tindakan tegas dengan memberhentikan operasi lombong serta-merta kepada mana-mana pemegang pajakan atau operator lombong di kawasan Tasik Chini jika berlaku ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

  4. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan penguatkuasaan dan pemulihan segera terhadap sebarang aktiviti pencerobohan yang berlaku di kawasan lombong. Sekitar Julai 2020, Kerajaan Negeri Pahang telah mengarahkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk menyegerakan aktiviti pemulihan di kawasan ceroboh lombong di Tasik Chini seluas 0.45 hektar. Aktiviti pemulihan ini telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta melalui tanggungjawab sosial korporat.

  5. Pemantauan berterusan terhadap aktiviti pemulihan kawasan lombong sentiasa dipergiatkan dan dalam pada masa yang sama kesedaran dan tanggungjawab pihak pemegang pajakan dan operator lombong turut dipertingkatkan. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bersama-sama dengan Pejabat Tanah dan Galian Pahang sentiasa bekerjasama dengan pihak operator lombong dalam memberikan khidmat nasihat teknikal tentang kepentingan dan keperluan pemulihan setiap kawasan pajakan lombong.

  6. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan kerjasama pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga telah merancang Projek Perintis Perhutanan Sosial bersama Komuniti Orang Asli di Tasik Chini. Beberapa siri konsulatasi melibatkan Komuniti Orang Asli Kampung Gumum dan Kampung Melai, Pekan telah dilaksanakan sejak tahun 2018 lagi.

  7. Dalam usaha mewujudkan kesedaran masyarakat setempat, Kerajaan Negeri Pahang juga turut melancarkan Kempen 1 pokok, 1 Rakyat Negeri Pahang yang mensasarkan penanaman pokok sebanyak 5 juta pokok pada tahun 2021. Semua pokok-pokok yang di tanam di Chini, Pekan, Pahang akan direkodkan melalui kempen ini. Kempen ini juga adalah untuk menyokong dan menjayakan Program Penghijauan Malaysia yang mensasarkan tanaman sebanyak 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

  8. Selanjutnya, sebagai perancangan pemulihan jangkamasa panjang Tasik Chini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke-8/2019 telah bersetuju meluluskan Kawasan Rizab Taman Negeri seluas 4,497.25 hektar (11,112.93 ekar) untuk dijadikan sebagai Hutan Simpan Chini mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984. Bagi merealisasi usaha penghutanan semula, dianggarkan sejumlah RM10 juta akan diperuntukkan dari pelbagai sumber untuk memulihkan kawasan seluas lebih kurang 202.34 hektar (500 ekar).

  9. Setelah selesai proses pewartaan Hutan Simpan Chini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Pahang agar keseluruhan Hutan Simpan Chini tersebut diwartakan sebagai salah satu Hutan Perlindungan dibawah Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984.

Info Jabatan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Tingkat 5, Kompleks Tun Razak,
Bandar Indera Mahkota, 25990 Kuantan,
Pahang, Malaysia.
Tel: +(609) 5732911
Fax: +(609) 5736152
Emel: forestry[at]pahang[dot]gov[dot]my

Map JPNP   Streetview JPNP   Instagram JPNP

Paparan & Statistik Pelawat

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Jumaat 26 November 2021.
Hari Ini 250
Semalam 280
Minggu Ini 818
Bulan Ini 250
Jumlah Pelawat 229470

Test

sasasasasasasasa