• Utama
  • Mengenai Kami
  • Profil Jabatan

Profil Jabatan

Perspektif Jabatan

WAWASAN

Untuk menjadi agensi terunggul dalam pengurusan Hutan Tropika secara berkekalan.

MISI

Untuk mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan serta mengoptimumkan sumbangannya kepada pembangunan sosio - ekonomi negara.

PROSES UTAMA MS ISO 9001:2008

Pengurusan pengeluaran kayu secara berkekalan bagi hutan darat asli di Hutan Simpanan Kekal.

OBJEKTIF

  • Untuk menguruskan sumber hutan negara secara berkekakalan bagi pengeluaran berterusan hasil dan perkhidmatan hutan serta penggunaannya secara optimum, bersesuaian dengan keperluan alam sekitar.
  • Untuk meningkatkan bekalan hasil dan perkhidmatan hutan melalui aktiviti-aktivit perhutanan bersesuaian yang akan meningkatkan kualiti, produktiviti serta penggunaan sumber hutan.
  • Untuk terus membangunkan teknologi mantap yang bersesuaian dengan keperluan alam sekitar bagi pemeliharaan, pengurusan dan penggunaan sumber hutan.
  • Untuk memelihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, air dan tanah serta penggunaannya secara berkekalan.
  • Untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kilang-kilang pemprosesan berasaskan keluaran hutan serta menambahkan aktiviti-aktiviti hiliran dengan nilai tambah yang tinggi.
  • Untuk memperkukuhkan pembangunan sumber manusia bagi menyokong sektor perhutanan.
  • Untuk meningkatkan kesedaran awam berhubung peranan hutan terhadap alam sekitar dan pemeliharaan melalui pembelajaran serta penyebaran maklumat.
  • Untuk meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada pendapatan negara, pertukaran mata wang asing dan peluang-peluang pekerjaan.
STRATEGI KORPORAT
  • Mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal sedia ada dan meningkatkan keluasannya.
  • Melaksanakan Kriteria, Petunjuk, Aktiviti dan Piawaian Pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (MC&I) dan MS ISO 9002.
  • Melaksanakan perancangan pengurusan hutan secara intensif dan sistematik serta mewujudkan Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) perhutanan terkini untuk meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada hasil negeri.
  • Menguruskan kawasan pengeluaran, pemeliharaan dan perlindungan hutan berdasarkan kelas penggunaannya, di samping menguatkuasakan undang-undang hutan yang cekap lagi berkesan.
  • Menyedia pelan induk untuk memajukan hutan lipur di samping mempromosikannya sebagai destinasi perlancongan.
  • Meningkatankan teknologi mesra alam dalam pengusahasilan serta penggunaan sisa-sisa hutan dan kilang selain menggalakkan pemprosesan hiliran keluaran hutan.
  • Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan hutan melalui penyebaran maklumat-maklumat perhutanan.
  • Menggalakkan serta menyokong program hutan tani dan aktiviti perhutanan bandar.
  • Melaksanakan program pembangunan sumber manusia.
  • Mengadakan kemudahan infrastruktur yang mencukupi.
DASAR KUALITI MS ISO 9001:2008
  • Jabatan Perhutanan Negeri Pahang adalah komited untuk memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan dalam Pengurusan Pengeluaran Kayu Secara Berkekalan bagi Hutan Darat asli di Hutan Simpan Kekal supaya dapat dilaksanakan dalam tempoh masa, kaedah dan peraturan-peraturan untuk memenuhi kehendak pelanggan.
  • Jabatan Perhutanan Negeri Pahang percaya perkara ini dapat dicapai melalui penerapan budaya kerja yang memenuhi keperluan MS ISO 9001:2008 pada semua peringkat kakitangan dalam pelaksanaan sistem pengurusan kualiti yang berkesan dengan komitmen yang tinggi dari pengurusan atasan hingga ke peringkat bawahan.
  • Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akan mengenalpasti dari semasa ke semasa kelemahan-kelemahan dalam organisasi dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan dengan menglibatkan semua tenaga kerja untuk menambahbaik secara berterusan Sistem Pengurusan Kualiti JPSM.
  • Semua ketua bahagian/unit akan memantau dan mengkaji prestasi sebenar pelaksanaan objektif-objektif kualiti yang telah ditetapkan di bawah bidang tugas dan tanggung jawab masing-masing dan mengambil tindakan segera apabila prestasi pelaksanaan tidak mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan.
Perlembagaan, Dasar dan Undang-Undang

1. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan

Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Senarai II dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan itu, isu tanah termasuk hutan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mutlak di dalam membentuk atau menerima sesuatu undang-undang dan peraturan hutan bagi mentadbir, mengurus dan membangunkan sumber hutan.

2. Majlis Perhutanan Negara

Bagi menyelaraskan hal-hal pentadbiran, pengurusan dan pembangunan hutan, Majlis Perhutanan Negara (MPN) telah ditubuhkan pada 20 Disember 1971 oleh Majlis Tanah Negara (MTN). Penubuhan MPN tidak berasaskan kepada mana-mana peruntukan dalam perlembagaan. MPN merupakan forum bagi Kerajaan Persekutuan dan Negeri membincangkan masalah dan isu bersama yang berkaitan dengan dasar, pentadbiran dan pengurusan perhutanan. Semua keputusan MPN perlulah disahkan oleh MTN. Tugas untuk melaksanakan keputusan MPN adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan-Kerajaan Negeri kecuali jika ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

3. Dasar Perhutanan Negara, 1978 (Pindaan 1992)

Dasar Perhutanan Negara (DPN) adalah merupakan satu garis panduan bagi menjamin pengekalan sumber hutan negara. Dasar Perhutanan Negara (DPN) telah diluluskan oleh MPN Dalam tahun 1977 dan kemudian disahkan oleh MTN pada 19 April, 1978. DPN ini telah dikaji semula pada 19 November, 1992 bagi menggubal pendekatan-pendekatan yang menyeluruh dalam pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber hutan untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sektor perhutanan

4. Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993)

Akta ini digubal bertujuan untuk memastikan pelaksanaan dan pencapaian objektif-objektif yang telah digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992). Ia adalah seragam di semua negeri di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan Enakmen-Enakmen Hutan yang telah digubal sebelum ini. Akta ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang sebagai Enakmen Perhutanan Negeri Pahang 1985 (Pindaan 1994) dan telah diwartakan pada 17 Disember 1993.  Enakmen ini mula berkuatkuasa pada 4 Februari 1994.

5. Kaedah-Kaedah Hutan 1987

Kaedah ini digubal sebagai panduan dan prosedur pelaksanaan Akta Perhutanan Negara (APN) di mana ia berpandukan Seksyen 111 APN 1984 (Pindaan 1993). Kaedah ini telah diwartakan pada 17 Disember 1987 dan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 1988.

6. Akta Industri Berasas Kayu 1984

Akta ini digubal bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mewakilkan kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengendalikan aspek-aspek industri berasaskan kayu. Akta ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 29 November, 1985 sebagai Enakmen Industri Berasas Kayu 1985 dan telah diwartakan pada 31 Julai 1986.  Enakmen ini berkuatkuasa pada 1 Januari 1988.

7. Kaedah-Kaedah Industri Berasas Kayu 1987

Kaedah ini digubal sebagai panduan dan prosedur pelaksanaan Akta Industri Berasas Kayu 1984. Kaedah ini diwartakan pada 31 Disember 1987 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 1988.

8. Undang-Undang Lain Yang Berkaitan

  • Kanun Tanah Negara, 1965;
  • Kanun Keseksaan, (FMS Cap.45), 1948 (Pindaan 1993);
  • Kanun Acara Jenayah, (FMS Cap.6), 1903 (Pindaan 1995);
  • Akta Keterangan, 1950 (Pindaan 1993);
  • Akta Prosedur Kewangan, 1967 (Pindaan 1993);
  • Enakmen Bekalan Air, 1935;
  • Akta Perlindungan Tanah, 1960;
  • Akta Perlindungan Hidupan Liar, 1972 (Pindaan 1976 & 1988);
  • Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, 1973;
  • Akta Kualiti Alam Sekililing, 1974 (Pindaan 1995);
  • Akta Taman Negara, 1980 (Pindaan 1983);
  • Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Hutan Malaysia, 1985;
  • Enakmen Perlombongan 1926;
  • Akta Kerajaan Tempatan, 1976;
  • Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, 1994;
  • Dasar Kepelbagaian Biologi Negara, 1998;
  • Akta Orang Asli, 1954;
  • Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969;
  • Akta Pampasan Pekerja, 1952;
  • Akta Perhubungan Pengusahaan, 1967;
  • Akta Kesatuan Sekerja, 1959 (Akta 262);
  • Akta Pekerjaan, 1955;
  • Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, 1991;
  • Akta Kilang dan Jentera, 1967;
  • Akta Perikanan, 1985;
  • Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Negara Malaysia, 1999;
  • Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam, 2000;
  • Akta Pemuliharaan Tanah, 1960;
  • Akta Makhluk Perosak, 1974;
  • Akta Air, 1920;
  • Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, 2010;
  • Enakmen-enakmen Hutan Negeri
Perjawatan

Berikut ialah ringkasan maklumat perjawatan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sehingga 31 Disember 2013 :-

 

Kumpulan PerkhidmatanPerjawatanPengisianKekosongan
Pengurusan dan Profesional 26 24 2
Sokongan 1,555 1,325 230
Jumlah Keseluruhan 1,581 1,349 232
Latar Belakang

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah ditubuhkan sejak awal tahun 1900 untuk mengurus dan mentadbir segala khazanah hutan yang terdapat di Negeri Pahang Darul Makmur. Peranan dan tugas JPNP telah bertambah kompleks sejajar dengan kehendak dan aspirasi masyarakat yang mahukan manfaat yang optimum daripada sumber hutan.

Sektor ini memainkan peranan penting di dalam perkembangan sosio-ekonomi, pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar serta kepelbagaian hayat. Oleh yang demikian, adalah penting pengusahasilan hutan dilaksanakan mengikut perancangan yang betul dan teratur. Ini akan menjamin kadar kutipan hasil hutan dan menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor perhutanan yang berkekalan.

Untuk mencapai matlamat ini, organisasi JPNP dibahagikan kepada empat (4) bahagian iaitu :-

i. Bahagian Pengurusan dan Hasil

Bertanggungjawab ke atas merancang, mengurus dan mentadbir hal-hal berkaitan perkhidmatan, perjawatan, kewangan, stor, pengurusan dan pembangunan sumber manusia, teknologi maklumat serta kutipan hasil.

ii. Bahagian Pembangunan Hutan

Bertanggungjawab untuk merancang dan mengendalikan aktiviti-aktiviti pembangunan sumber hutan asli dan ladang hutan, pengurusan dan perancangan sumber hutan, pembangunan infrastruktur, pembangunan guna tenaga dan latihan. Bahagian ini terdiri dari Unit Silvikultur, Unit Pengurusan Hutan, Unit Maklumat Hutan, Unit Perancangan Hutan, Unit Kejuruteraan Hutan, Pusat Latihan Pembangunan Hutan dan Ladang Hutan.

iii. Bahagian Operasi Hutan

Bertanggungjawab dalam pelesenan pengusahasilan hutan, pengeluaran permit, pelesenan industri berasaskan kayu dan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan yang berkaitan dengan bidang perhutanan.

iv. Pentadbiran Pejabat Hutan Daerah

Bertanggungjawab untuk memastikan kerja-kerja di lapangan berjalan dengan teratur dan mengikut jadual. Ini melibatkan kawalan pengusahasilan hutan dan industri berasaskan kayu, kutipan hasil di Balai Pemeriksaan Jabatan Hutan, penguatkuasaan undang-undang hutan selain melaksanakan projek-projek pembangunan hutan. Tugasan lain meliputi juga pengurusan kewangan dan kakitangan, stor dan rekod pengusahasilan hutan. Pentadbiran Pejabat-pejabat Hutan Daerah di Negeri Pahang dibahagikan kepada tujuh (7), iaitu Kuantan/Pekan/Maran, Rompin, Temerloh/Bera, Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub/Cameron Highlands

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.