Longgokan Kayu Di Sungai Kerau Di Jabatan Sri Telemong

Susulan daripada kejadian longgokan kayu yang ditemui di Sungai Kerau di Jambatan Sri Telemong, Karak dalam daerah Bentong, Pahang yang tular dan menjadi perbincangan hangat di media sosial kebelakangan ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ingin menegaskan bahawa longgokan kayu tersebut telah dibawa ke hilir oleh kejadian kepala air dari hulu Sungai Kerau ke jambatan Sri Telemong.
 
Semakan pada 22 Disember 2021 iaitu selepas laluan jalan raya dibuka kepada umum, didapati sesetengah kayu tersebut adalah kayu yang masih berakar, terdapat kesan patah secara semulajadi (tiada kesan mata gergaji) dan sesetengahnya juga telah tidak berkulit akibat pusaran kepala air. Sisa-sisa kayu yang lain pula telah patah dan menjadi serpihan kecil. Ini jelas mebuktikan bahawa ciri-ciri kayu ini bukan berpunca dari aktiviti pembalakan.
 
Manakala kayu-kayu yang terdapat kesan potongan pula adalah potongan yang dibuat oleh kontraktor Konsesi Jalan Roadcare Sdn. Bhd. untuk kerja pengalihan sebahagian kayu di atas jalan yang menghalang laluan jalan selepas kejadian banjir bagi membolehkan laluan dibuka kepada kenderaan.
 
Data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang pada 18 Disember 2021 menunjukkan purata taburan hujan terkumpul di Bentong dan Karak ialah sebanyak 155mm yang mana dikategorikan sebagai sangat lebat dan lazimnya menyebabkan banjir kilat.
Taburan hujan yang tinggi ini telah menyebabkan kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berbukit yang membawa pokok-pokok dan batu-batuan ke sungai, seperti yang berlaku di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
 
Saksi kejadian juga menjelaskan kejadian kepala air di kawasan ini adalah sangat besar dan berukuran setinggi bangunan dua tingkat yang membawa batuan dan pokok-pokok lalu tersangkut di Jambatan Sri Telemong.
 
Hulu Sungai Kerau adalah berpunca dari kawasan berbukit dalam Hutan Simpan Lentang yang mana hutan simpan ini telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air pada tahun 2002. Jabatan mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan berkuatkuasa di kawasan ini sejak pewartaan ini dibuat. Justeru longgokan kayu yang hanyut bersama kepala air tersebut bukanlah berpunca dari tebangan pokok akibat daripada mana-mana aktiviti pembalakan yang diluluskan oleh kerajaan di kawasan tersebut.

Kenyataan Media Berkaitan Isu Longgokan Kayu Di Jalan Bentong-Karak Berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak Dan Jambatan Sri Telemong

  1. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membuat semakan berkaitan isu longgokan kayu di Jalan Bentong - Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak dan Jambatan Sri Telemong yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan di dalam Hutan Simpan (H.S.) Lentang. 
  2. Hasil semakan mendapati telah berlaku kejadian kepala air di kedua-dua lokasi ini yang bermula di H.S Lentang akibat hujan lebat yang berterusan selama 3 hari bermula 16 Disember hingga hari kejadian banjir besar di Bentong pada 18 Disember 2021. Ini disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran Daerah Bentong yang mencatatkan bacaan purata 155 mm pada 18 Disember 2021, di mana bacaan hujan ini dikategorikan sebagai sangat lebat.
  3. Semakan di kedua-dua lokasi iaitu Jalan Bentong - Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak dan Jambatan Sri Telemong mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan merupakan sisa debris daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember 2021.
  4. JPNP telah turut membuat semakan melalui udara menggunakan drone dan mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada di dalam H.S. Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik di kedua-dua lokasi. JPNP juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah mahupun pembalakan haram sepertimana yang ditularkan oleh orang awam melalui media sosial.
  5. Dari segi rekod, H.S. Lentang yang terlibat dengan insiden ini telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air semenjak tahun 2002 di mana aktiviti pembalakan adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam kawasan ini. Tambahan dari itu, seluas 30 hektar kawasan H.S. Lentang di Sungai Kerau telah dijadikan sebagai petak High Conservation Value Forest (HCVF) semenjak tahun 2012. HCVF merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.
  6. Semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam H.S. Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik yang membawa sisa debris terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai-sungai tersebut. Semakan lapangan turut membuat penemuan pelbagai sisa batang pokok serta kayu yang terdiri daripada pelbagai spesies, antaranya pokok hutan, durian, getah mahupun kelapa sawit, yang memberikan gambaran bahawa arus air sungai yang deras turut membawa debris dari kawasan luar H.S. Lentang.
     
  7. Semakan lanjut mendapati sisa-sisa pokok dan kayu yang bertaburan di atas Jalan Bentong-Karak ini didapati telah dialihkan ke kawasan rizab jalan berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak oleh kontraktor yang di lantik oleh ANIH Berhad untuk kerja pembersihan jalan.
  8. Selain itu, di Jambatan Sri Telemong, bukti kejadian kepala air ini turut disokong melalui saksi kejadian iaitu pengusaha Resort Shilinmen Karak dan penduduk kampung Sri Telemong yang melihat sendiri kejadian kepala air yang membawa bersama lumpur dan sisa kayu setinggi bangunan dua tingkat.
  9. JPNP turut mengesahkan kejadian kepala air di kedua-dua lokasi yang dinyatakan di atas tiada kena-mengena sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Tanah Kerajaan Sungai Gapoi sepertimana yang ditularkan, kerana jarak kawasan ini adalah sejauh 16 km daripada Jambatan Sri Telemong dan 23 km daripada Jalan Bentong-Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak. Tinjauan di lokasi pada hari ini mendapati air Sungai Gapoi adalah jernih dan tiada kesan kepala air.
  10. Fenomena yang berlaku di H.S. Lentang ini hampir sama seperti apa yang berlaku di H.S. Gunung Jerai, Kedah pada bulan Ogos 2021 lepas.
  11. JPNP akan mengambil tindakan lanjut untuk memastikan sisa kayu di sungai-sungai ini dialihkan segera dan akan dilupuskan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984. Tinjauan lanjut melalui helikopter juga akan dilaksanakan pada awal Januari 2022 bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air di dalam H.S. Lentang.
  12. JPNP mencadangkan supaya kawasan Tanah Kerajaan yang tidak diusahakan, yang bersempadan dengan H.S. Lentang di sungai-sungai tersebut khususnya di kawasan yang telah berlaku bencana dan disekitar H.S. Lentang amnya diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dibawah Seksyen 10 APN 1984, agar kerja-kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seperti ini tidak berlaku di masa hadapan.
  13. JPNP menyarankan agar dilaksanakan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai (Buffer zone) di sepanjang sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam bagi mengelakkan berlakunya hakisan yang lebih serius di masa hadapan.
 
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
29 Disember 2021

Kenyataan Media Berkaitan Pembalakan Di Hutan Simpanan Kekal Lentang

  1. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membuat semakan berkaitan isu yang diviralkan pada awal September 2021 dan mandapati kawasan yang dimaksudkan merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus Tanah Milik yang terletak di dalam daerah Bentong dengan keluasan ±3.59 hektar (8.90 ekar).
  2. Kawasan lesen yang sama ini juga pernah diviralkan pada penghujung tahun 2020 berkaitan pencemaran Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini. Rentetan daripada itu, JPNP telah mengambil tindakan untuk menghentikan sementara kerja di kawasan lesen ini bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut. Kemudiannya, pihak pelesen telah membuat permohonan untuk menyambung semula lesen dan menggunakan jalan pengeluaran yang lain iaitu jalan lama kawasan bekas lesen Projek Talian Penghantaran TNB yang terletak di dalam Hutan Simpan Lentang sebagai satu-satunya jalan alternatif ke kawasan lesen. Jalan pengeluaran yang akan digunakan ini pernah menjadi isu kerana dikatakan sebagai punca kepada bencana kepala air yang berlaku di KM52.4 Lebuhraya KL-Karak pada November 2015. Hasil siasatan oleh Jabatan Teknikal pada masa tersebut mendapati bencana berlaku adalah disebabkan kadar hujan yang luarbiasa di kawasan Lentang. Oleh itu JPNP telah meluluskan permohonan untuk memulakan kerja pada 15 Julai 2021 dan juga permit jalan yang melalui Hutan Simpan Lentang serta permit matau kepada pelesen.
     
  3. Semakan oleh JPNP juga telah mendapati pelesen telah menggunakan tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) seluas 1.6 hektar (sepertimana gambar papan tanda yang telah diviralkan) adalah terletak bersebelahan kawasan lesen sebagai matau sementara, namun Pejabat Daerah dan Tanah Bentong memaklumkan lesen LPS tersebut telah tamat tempoh. Semakan oleh JPNP juga telah mendapati pelesen telah membuat bayaran untuk menyambung semula tempoh lesen LPS tersebut berdasarkan resit yang disertakan oleh pelesen kepada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong.
     
  4. Hasil daripada semakan di lapangan yang dibuat oleh kakitangan PHD Bentong mendapati pelesen telah siap membina jalan pengeluaran ke kawasan lesen dan telah menjalankan kerja penebangan hampir 30% di dalam kawasan lesen. Selain itu, semakan juga mendapati beberapa longgok tual balak daripada kawasan lesen telah disusun di matau sementara dan juga di matau utama. Walaubagaimanapun, kerja-kerja pengeluaran balak dari kawasan lesen Tanah Milik masih belum dilaksanakan.
     
  5. Pemantauan oleh JPNP mendapati pelesen telah mematuhi Spesifikasi Jalan Hutan yang ditetapkan, cuma beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan terutama jambatan dan pembentung bagi lintasan alur air sungai sementara (bukan aliran kekal) bagi mengelakkan sebarang pencemaran berlaku didalam kawasan ini.
     
  6. Arahan dan pemantauan yang rapi kepada pelesen juga telah dibuat bagi memastikan pelesen melaksanakan tindakan pembetulan dengan segera dan penambahbaikan dari aspek penyelenggaraan jalan pengeluaran dengan lebih kerap, kerana cuaca di daerah Bentong yang kerap hujan sejak kebelakangan ini.
     
  7. Secara keseluruhannya, JPNP mendapati pelesen tidak melakukan sebarang kesalahan hutan yang melibatkan jalan pengeluaran dan kawasan lesen. Walaubagaimanapun, setelah mengambil kira beberapa faktor lain dan kepentingan awam, JPNP telah mengambil keputusan untuk *MEMBATALKAN LESEN PEMINDAH (BORANG 5) KAWASAN INI* bagi kawasan lesen ini berkuatkuasa serta merta.
     
  8. Dalam pada masa yang sama, JPNP akan terus memantau operasi sedia ada agar semua arahan JPNP dipatuhi.
     
     
     
    Sekian. Terima kasih.
    Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
     
    14 September 2021

Program Jom Tanam Pokok Bersama Pahangfm

Program Jom Tanam Pokok Pahangfm telah diadakan di perkarangan RTM, Pahang pada 10 November 2021 (Rabu). Sebanyak 100 pokok buah-buahan telah ditanam pada program ini. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mengucapkan terima kasih atas sokongan RTM Pahang dalam menjayakan Kempen Penghijauan Malaysia di Negeri Pahang ini. Kempen ini menasasarkan penanaman 5 juta pokok untuk ditanam pada tahun 2021 dengan moto 1 pokok, 1 rakyat Negeri Pahang.

Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @pahang : Hutan Simpan Batu Talam bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Hutan Simpan Batu Talam

21 Ogos 2021 - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mengaadakan Program Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @pahang : Hutan Simpan Batu Talam bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Hutan Simpan Batu Talam, Raub. Seramai 130 orang daripada 23 NGO dan 70 orang kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah terlibat dalam program ini.
 
Sebanyak 2,210 pokok dari spesies pokok hutan dan buah-buahan nadir telah ditanam melibatkan kawasan seluas lebih kurang 20 ekar. Setiap NGO diberikan blok tanaman masing-masing dan pokok-pokok yang ditanam akan menjadi pokok angkat kepada NGO yang terlibat. Program tamat pada jam 1.00 tengah hari.
 
Senarai NGO yang terlibat ialah:
 
  1. Persatuan Pencinta Alam Negeri Pahang (MNS)
  2. Helping Unfortunate Groups & Society Project (HUGS Project)
  3. Sultan Ahmad Shah Environment Foundation (SASEF)
  4. Bird Group Taman Negara
  5. Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP)
  6. Hiking & Camping Around Malaysia
  7. Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia
  8. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  9. Hiking & Recreation Around Malaysia
  10. Persatuan Penggerak 1Bentong
  11. Kelab Anak Muda Bandaraya Kuantan
  12. Pertubuhan Skuad Sabil Negeri Pahang
  13. Skuad Bencana Pahang
  14. Pengakap Kelana G
  15. Jabatan Amal Negeri Pahang
  16. Persatuan Radia Amatur Negeri Pahang
  17. Gabungan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (GPSK)
  18. Persatuan Alam dan Warisan Bukit Fraser
  19. Persatuan Malim Gunung Raub
  20. Persatuan Sukarelawan Kebajikan Daerah (PSKD) Raub
  21. Hammockers Malaysia
  22. Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang
  23. Majlis Belia dan Sukan Negeri Pahang

Info Jabatan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Tingkat 5, Kompleks Tun Razak,
Bandar Indera Mahkota, 25990 Kuantan,
Pahang, Malaysia.
Tel: +(609) 5732911
Fax: +(609) 5736152
Emel: forestry[at]pahang[dot]gov[dot]my

Map JPNP   Streetview JPNP   Instagram JPNPFacebookJPNP

Paparan & Statistik Pelawat

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Isnin 20 Mac 2023.
Hari Ini 251
Semalam 126
Minggu Ini 251
Bulan Ini 5823
Jumlah Pelawat 345674
Test

sasasasasasasasa