UCAPAN TAHUN BARU 2020

PENGARAH PERHUTANAN NEGERI PAHANG

 
 
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
 
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan izinNya, tahun 2019 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan penghargaan syabas dan tahniah kepada seluruh warga kerja Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di atas komitmen, keazaman dan kerja keras berpasukan yang ditunjukkan dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan sepanjang tahun tersebut. 
 
2. Tahun 2019 telah melabuhkan tirainya dan sepanjang tahun tersebut, pelbagai kejayaan dan pencapaian cemerlang telah dikecapi dan ianya membantu meningkatkan imej JPNP ke peringkat yang lebih tinggi. Antara rangkuman kejayaan utama yang telah kita perolehi adalah: 
 
i. Pengekalan Sijil Pengurusan Hutan di bawah Malaysian Criteria And Indicators For Forest Management Certification (MC&I) bermula pada tahun 2002 sehingga kini. Pensijilan ini sememangnya amat penting bagi memastikan segala produk kayukayan yang berasal dari Negeri Pahang dapat terus dijual di pasaran antarabangsa;
 
ii. JPNP telah berjaya melaksanakan penguatkuasaan pindaan Kaedah-Kaedah Hutan 1987 (Pindaan 2018) melalui kenaikan kadar premium pembalakan dan ses perhutanan berkuatkuasa 1 Januari 2019. Manakala kenaikan kadar royalti pula telah dikuatkuasa pada 1 Jun 2019;
 
iii. JPNP dengan kerjasama pelbagai Agensi Penguatkuasa Negeri telah berjaya mengadakan sebanyak lapan (8) Operasi Bersepadu (Ops Tanglung, Ops Lombong 4.0, Ops Tebas, Ops Ronda, Ops Lombong PTG, Ops Kilang, Ops Khazanah dan Ops Lestari 2) bagi membanteras kesalahan hutan yang bersabit dengan undang-undang sedia ada iaitu Akta Perhutanan Negara 1984 (APN 1984) dan Enakmen Industri Berasas Kayu 1985 (EIBK, 1985). Antara aktiviti yang dijalankan semasa operasi adalah semakan kawasan kelulusan (lesen atau permit), sekatan jalanraya, semakan transit, Balai Pemeriksaan Hutan, rondaan sempadan luar Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan lain-lain aktiviti penguatkuasaan yang berkaitan; 
 
iv. Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan pewartaan HSK seluas 139,248.34 hektar secara berperingkat (Hutan Simpan Sg. Ichat -121 hektar, Hutan Simpan Chini – 4,497.25 hektar, Hutan Tadahan
Air – 132,212.58 hektar, Taman Negeri Cameron Highlands – 2,289.62 hektar, Hutan Simpan Sg. Yu – 127.893 hektar);  
 
v. JPNP bersama Kerajaan Negeri Pahang telah mengorak langkah dan menunjukkan komitmen tinggi terhadap dua (2) perjanjian persefahaman iaitu; 

a) Perjanjian Persefahaman antara Sime Darby Plantation dengan JPNP bagi perkongsian kepakaran dalam perlindungan kepelbagaian biologi hutan; dan

b) Perjanjian Persefahaman antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Shell Malaysia bagi projek ‘carbon offset’.
 
vi. Program restorasi, rehabilitasi dan tebus guna merupakan projek pemulihan kawasan hutan yang melibatkan seluas 33.12 hektar di kawasan Tanah Kerajaan Sg. Ichat dan kawasan lombong Tasik Chini. Aktiviti penanaman pokok telah dilaksanakan secara berperingkat iaitu kira-kira 1.5 hektar telah ditanam dengan spesies Pokok Gerok;
 
vii. Satu produk inovasi JPNP iaitu Pusat Pemeriksaan Perhutanan bagi pemeriksaan transit di sempadan Pahang - Johor yang menggunakan Sistem TechnoLog telah diperkenalkan dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia. Penubuhan Pusat Pemeriksaan Perhutanan ini merupakan ‘pilot project’ untuk menggantikan dan mengurangkan Balai Pemeriksaan Hutan Sementara bagi memperbaiki mutu kerja sedia ada dan mencegah ketirisan hasil hutan; 
 
3. Pada tahun 2020, JPNP akan terus menitikberatkan pelbagai aktiviti dan strategi untuk menambah hasil bagi mencapai sasaran kutipan hasil hutan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri iaitu kira-kira 165 juta setahun. Strategi awal yang telah dirangka dan dikenalpasti adalah perlaksanaan kajian kebolehlaksanaan penggandaan cukai dua kali ke atas hasil hutan yang dibawa dan diproses di luar negeri Pahang.
 
4. Selain itu juga, JPNP akan memperkasakan penguatkuasaan dan pendakwaan melalui penggubalan undang-undang sedia ada Kaedah-Kaedah Hutan dengan fokus utama terhadap hasil hutan kecil dan Jadual Empat – Fee Pelbagai. Aktiviti penguatkuasaan dan pendakwaan yang berterusan mampu mengekang aktiviti pembalakan haram dan ketirisan hasil negeri.
 
5. JPNP merancang untuk menambahbaik kemudahan dan prasarana di bawah urustadbirnya iaitu Taman Eko Rimba dan Taman Negeri bagi meningkatkan kepuasan kepada pengguna. Justeru itu, peruntukan memperbaiki prasarana dan kemudahan di Taman Eko Rimba telah diluluskan berjumlah RM 500 ribu.
 
6. Adalah menjadi harapan agar JPNP terus menjadi Jabatan yang utama di negeri Pahang dalam urus tadbir hutan. Tahun 2020 memperlihatkan agar organisasi jabatan ini dapat diperkukuhkan melalui penstrukturan semula perjawatan bagi mengimbangi pertambahan  beban tugas dengan tugas sedia ada untuk mengurus kira-kira 1.5 juta kawasan Hutan Simpanan Kekal di negeri Pahang. 
 
7. JPNP juga akan terus komited untuk meningkatkan aktiviti penghijauan dan penghutanan semula melalui kawasan terosot yang telah diancam kerosakan. Sasaran utama kawasan ini adalah di kawasan pewartaan Hutan Simpan Chini yang dijangkakan akan dipulihara dengan tanaman pokok yang bersesuaian.
 
8. Untuk tahun 2020 ini, perancangan dengan strategi yang lebih kreatif dan inovatif perlu difikir dan dilaksanakan agar misi dan visi Jabatan tercapai. Saya menyeru agar seluruh warga Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk terus mengamal dan membudayakan prinsip P.U.A.S (Prioritise, Urgency, Aggresiveness dan Strategize) sebagai amalan kerja sehari-harian dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. 
 
9. Selain itu juga, saya ingin mengingatkan agar semua warga Jabatan untuk terus menjaga imej Jabatan, sentiasa bekerja keras, mengekalkan semangat kerjasama erat, berdisiplin tinggi dan memasang tekad untuk lebih cemerlang. Masing-masing mempunyai peranan yang besar di dalam menjayakan pelaksanaan semua aktiviti dan objektif yang dirancang. 
 
10. Pelaksanaan agenda 2019 yang berjaya perlu diteruskan serta ditambah baik, manakala kelemahan yang dikenalpasti perlu diperbaiki dan kegagalan dijadikan teladan sebagai panduan pada masa hadapan. Semoga Tahun Baru ini membuka lembaran baharu untuk kita semua. 
 
 
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2020
 
#JPNPKuatJPNPHebat
#Maju TerusPahang
#Pahang1st 
 
Wabillah Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 
Sekian, terima kasih. 
 
YH. DATO’ DR. MOHD HIZAMRI BIN MOHD YASIN 

PENGARAH PERHUTANAN NEGERI PAHANG

Info Jabatan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Tingkat 5, Kompleks Tun Razak,
Bandar Indera Mahkota, 25990 Kuantan,
Pahang, Malaysia.
Tel: +(609) 5732911
Fax: +(609) 5736152
Emel: forestry[at]pahang[dot]gov[dot]my

Map JPNP   Streetview JPNP   Instagram JPNPFacebookJPNP

Paparan & Statistik Pelawat

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Sabtu 23 September 2023.
Hari Ini 302
Semalam 171
Minggu Ini 302
Bulan Ini 7259
Jumlah Pelawat 393413
Test

sasasasasasasasa