Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah berjaya menanam lebih kurang 1,420 anak pokok sempena Program Penanaman Pokok Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) di Parlimen Bentong, Paya Besar dan Kuantan dengan jumlah tanaman masing-masing ialah 600, 400 dan 420 anak pokok.
Parlimen Bentong telah melaksanakan program tanaman ini pada 21 Julai 2022 bertempat di Taman Eko-Rimba Lentang manakala Parlimen Paya Besar dan Parlimen Kuantan telah melaksanakan pogram serupa pada 23 dan 24 Julai 2022. Parlimen Paya Besar telah memilih lokasi di sepanjang Jalan Pinggiran Universiti Malaysia Pahang, Gambang dan Parlimen Paya Besar pula telah menanam 420 anak pokok di Taman Tasik Lestari, Teluk Chempedak.
Program yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah ini telah dihadiri oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri dan Penyelaras Parlimen kawasan masing-masing bagi menyatakan sokongan dan dokongan kepada agenda kerajaan negeri yang memperuntukkan sejumlah peruntukan dan sebatang pokok bagi mewakili setiap kelahiran bayi di negeri Pahang bermula tahun 2022.