- Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membuat semakan berkaitan isu yang diviralkan pada awal September 2021 dan mandapati kawasan yang dimaksudkan merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus Tanah Milik yang terletak di dalam daerah Bentong dengan keluasan ±3.59 hektar (8.90 ekar).
-
Kawasan lesen yang sama ini juga pernah diviralkan pada penghujung tahun 2020 berkaitan pencemaran Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini. Rentetan daripada itu, JPNP telah mengambil tindakan untuk menghentikan sementara kerja di kawasan lesen ini bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut. Kemudiannya, pihak pelesen telah membuat permohonan untuk menyambung semula lesen dan menggunakan jalan pengeluaran yang lain iaitu jalan lama kawasan bekas lesen Projek Talian Penghantaran TNB yang terletak di dalam Hutan Simpan Lentang sebagai satu-satunya jalan alternatif ke kawasan lesen. Jalan pengeluaran yang akan digunakan ini pernah menjadi isu kerana dikatakan sebagai punca kepada bencana kepala air yang berlaku di KM52.4 Lebuhraya KL-Karak pada November 2015. Hasil siasatan oleh Jabatan Teknikal pada masa tersebut mendapati bencana berlaku adalah disebabkan kadar hujan yang luarbiasa di kawasan Lentang. Oleh itu JPNP telah meluluskan permohonan untuk memulakan kerja pada 15 Julai 2021 dan juga permit jalan yang melalui Hutan Simpan Lentang serta permit matau kepada pelesen.
-
Semakan oleh JPNP juga telah mendapati pelesen telah menggunakan tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) seluas 1.6 hektar (sepertimana gambar papan tanda yang telah diviralkan) adalah terletak bersebelahan kawasan lesen sebagai matau sementara, namun Pejabat Daerah dan Tanah Bentong memaklumkan lesen LPS tersebut telah tamat tempoh. Semakan oleh JPNP juga telah mendapati pelesen telah membuat bayaran untuk menyambung semula tempoh lesen LPS tersebut berdasarkan resit yang disertakan oleh pelesen kepada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong.
-
Hasil daripada semakan di lapangan yang dibuat oleh kakitangan PHD Bentong mendapati pelesen telah siap membina jalan pengeluaran ke kawasan lesen dan telah menjalankan kerja penebangan hampir 30% di dalam kawasan lesen. Selain itu, semakan juga mendapati beberapa longgok tual balak daripada kawasan lesen telah disusun di matau sementara dan juga di matau utama. Walaubagaimanapun, kerja-kerja pengeluaran balak dari kawasan lesen Tanah Milik masih belum dilaksanakan.
-
Pemantauan oleh JPNP mendapati pelesen telah mematuhi Spesifikasi Jalan Hutan yang ditetapkan, cuma beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan terutama jambatan dan pembentung bagi lintasan alur air sungai sementara (bukan aliran kekal) bagi mengelakkan sebarang pencemaran berlaku didalam kawasan ini.
-
Arahan dan pemantauan yang rapi kepada pelesen juga telah dibuat bagi memastikan pelesen melaksanakan tindakan pembetulan dengan segera dan penambahbaikan dari aspek penyelenggaraan jalan pengeluaran dengan lebih kerap, kerana cuaca di daerah Bentong yang kerap hujan sejak kebelakangan ini.
-
Secara keseluruhannya, JPNP mendapati pelesen tidak melakukan sebarang kesalahan hutan yang melibatkan jalan pengeluaran dan kawasan lesen. Walaubagaimanapun, setelah mengambil kira beberapa faktor lain dan kepentingan awam, JPNP telah mengambil keputusan untuk *MEMBATALKAN LESEN PEMINDAH (BORANG 5) KAWASAN INI* bagi kawasan lesen ini berkuatkuasa serta merta.
-
Dalam pada masa yang sama, JPNP akan terus memantau operasi sedia ada agar semua arahan JPNP dipatuhi.
Sekian. Terima kasih.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
14 September 2021