Ekspedisi Saintifik Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands telah bermula pada 10 Mac 2023 (Jumaat) dan telah mengumpulkan seramai 70 orang penyelidik dari 10 bidang kajian. Antaranya ialah tumbuhan, eko-pelancongan, burung, reptilia, avifauna, fungi, geologi, mamalia, serangga dan lain-lain. Perasmian ekspedisi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal), YBhg. Dato' Rahim bin Rani pada hari sama jam 8.30 malam di Nova Highlands Hotel.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah melantik Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff bin Mohamad yang mempunyai kepakaran dalam bidang botani dan biologi pemuliharaan sebagai Ketua Ekspedisi. Beliau merupakan pesara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan masih bergiat aktif dalam penyelidikan berkaitan perhutanan. Kajian dalam ekspedisi yang akan berlangsung selama lima hari (tiga hari kajian di lapangan) ini bertumpu di sekitar Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest dengan empat denai disediakan sebagai kawasan kajian yang boleh dimasuki oleh penyelidik. Jabatan juga turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Malim Gunung Perhutanan Daerah Cameron Highlands (PMGPCH) yang bertindak sebagai pasukan keselamatan dan trail master bagi setiap denai.
YBhg. Dato’ Rahim bin Rani telah memulakan hari pertama ekspedisi melalui sesi flag-off sebagai simbolik pelepasan peserta dan bermulanya Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands.
Peserta telah dibahagi mengikut denai-denai kajian yang telah ditetapkan oleh JPNP bagi membantu para peserta ekpedisi saintifik menjalankan kajian. Terdapat empat denai disediakan yang mempunyai daya tarikan dan keunikan yang tersendiri iaitu:
Denai 1 – Boardwalk dan sekitar Dataran Irau
Denai 2 – Denai Puncak Mat
Denai 3 – Denai Mini Irau
Denai 4 – Denai Corybas
Terdapat juga kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian pada sebelah malam iaitu penyelidik kelawar dan reptilia.
Terdapat beberapa spesies endemik di Cameron Highlands telah ditemui sepanjang espedisi ini. Antaranya adalah spesies Macrocalamus schulzi (Schulz's Reed Snake) yang masih tiada nama tempatan. Ular ini telah ditemui oleh Penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Spesies endemik reptilia lain yang turut ditemui ialah Malayodracon robinsonii (Robinson's Angle-headed Lizard) dan Niviventer cameroni (Cameron Highlands white-bellied rat). Kedua-dua spesies ini telah ditemui oleh kumpulan penyelidik reptilia dari UMT dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Manakala pasukan penyelidik dari bidang geologi telah menemui dua jenis batuan utama iaitu granit dan batuan kuarza. Daik kuarza merupakan penemuan terbaru dan belum dipetakan lagi di cameron Highlands. Selain kajian flora dan fauna, pasukan penyelidik juga melakukan kajian bagi penilaian risiko denai pendakian ke Gunung Irau.
Pelbagai spesies lumut dan paku pakis juga telah direkodkan dalam ekspedisi ini.
Penemuan pada kali ini telah menepati objektif ekspedisi santifik iaitu memperkaya dan mengemaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diteroka di dalam kawasan TER Mossy Forest. Selain itu juga ianya menggalakkan jaringan kerjasama penyelidikan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan agensi penyelidikan kerajaan.