1. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membuat semakan berkaitan isu longgokan kayu di Jalan Bentong - Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak dan Jambatan Sri Telemong yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan di dalam Hutan Simpan (H.S.) Lentang. 
  2. Hasil semakan mendapati telah berlaku kejadian kepala air di kedua-dua lokasi ini yang bermula di H.S Lentang akibat hujan lebat yang berterusan selama 3 hari bermula 16 Disember hingga hari kejadian banjir besar di Bentong pada 18 Disember 2021. Ini disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran Daerah Bentong yang mencatatkan bacaan purata 155 mm pada 18 Disember 2021, di mana bacaan hujan ini dikategorikan sebagai sangat lebat.
  3. Semakan di kedua-dua lokasi iaitu Jalan Bentong - Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak dan Jambatan Sri Telemong mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan merupakan sisa debris daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember 2021.
  4. JPNP telah turut membuat semakan melalui udara menggunakan drone dan mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada di dalam H.S. Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik di kedua-dua lokasi. JPNP juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah mahupun pembalakan haram sepertimana yang ditularkan oleh orang awam melalui media sosial.
  5. Dari segi rekod, H.S. Lentang yang terlibat dengan insiden ini telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air semenjak tahun 2002 di mana aktiviti pembalakan adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam kawasan ini. Tambahan dari itu, seluas 30 hektar kawasan H.S. Lentang di Sungai Kerau telah dijadikan sebagai petak High Conservation Value Forest (HCVF) semenjak tahun 2012. HCVF merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.
  6. Semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam H.S. Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik yang membawa sisa debris terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai-sungai tersebut. Semakan lapangan turut membuat penemuan pelbagai sisa batang pokok serta kayu yang terdiri daripada pelbagai spesies, antaranya pokok hutan, durian, getah mahupun kelapa sawit, yang memberikan gambaran bahawa arus air sungai yang deras turut membawa debris dari kawasan luar H.S. Lentang.
     
  7. Semakan lanjut mendapati sisa-sisa pokok dan kayu yang bertaburan di atas Jalan Bentong-Karak ini didapati telah dialihkan ke kawasan rizab jalan berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak oleh kontraktor yang di lantik oleh ANIH Berhad untuk kerja pembersihan jalan.
  8. Selain itu, di Jambatan Sri Telemong, bukti kejadian kepala air ini turut disokong melalui saksi kejadian iaitu pengusaha Resort Shilinmen Karak dan penduduk kampung Sri Telemong yang melihat sendiri kejadian kepala air yang membawa bersama lumpur dan sisa kayu setinggi bangunan dua tingkat.
  9. JPNP turut mengesahkan kejadian kepala air di kedua-dua lokasi yang dinyatakan di atas tiada kena-mengena sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Tanah Kerajaan Sungai Gapoi sepertimana yang ditularkan, kerana jarak kawasan ini adalah sejauh 16 km daripada Jambatan Sri Telemong dan 23 km daripada Jalan Bentong-Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak. Tinjauan di lokasi pada hari ini mendapati air Sungai Gapoi adalah jernih dan tiada kesan kepala air.
  10. Fenomena yang berlaku di H.S. Lentang ini hampir sama seperti apa yang berlaku di H.S. Gunung Jerai, Kedah pada bulan Ogos 2021 lepas.
  11. JPNP akan mengambil tindakan lanjut untuk memastikan sisa kayu di sungai-sungai ini dialihkan segera dan akan dilupuskan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984. Tinjauan lanjut melalui helikopter juga akan dilaksanakan pada awal Januari 2022 bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air di dalam H.S. Lentang.
  12. JPNP mencadangkan supaya kawasan Tanah Kerajaan yang tidak diusahakan, yang bersempadan dengan H.S. Lentang di sungai-sungai tersebut khususnya di kawasan yang telah berlaku bencana dan disekitar H.S. Lentang amnya diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dibawah Seksyen 10 APN 1984, agar kerja-kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seperti ini tidak berlaku di masa hadapan.
  13. JPNP menyarankan agar dilaksanakan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai (Buffer zone) di sepanjang sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam bagi mengelakkan berlakunya hakisan yang lebih serius di masa hadapan.
 
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
29 Disember 2021

Info Jabatan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Tingkat 5, Kompleks Tun Razak,
Bandar Indera Mahkota, 25990 Kuantan,
Pahang, Malaysia.
Tel: +(609) 5732911
Fax: +(609) 5736152
Emel: forestry[at]pahang[dot]gov[dot]my

Map JPNP   Streetview JPNP   Instagram JPNPFacebookJPNP

Paparan & Statistik Pelawat

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Isnin 03 Oktober 2022.
Hari Ini 338
Semalam 392
Minggu Ini 1434
Bulan Ini 1819
Jumlah Pelawat 307605
Test

sasasasasasasasa