Rancangan Pengurusan Hutan
Ringkasan Eksekutif
Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Pahang 2026-2035 [RPH Negeri Pahang (20262035)] ini disediakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). Dokumen RPH ini akan dijadikan panduan dan rujukan asas untuk merancang dan mengurus Hutan Simpanan Kekal (HSK) secara berkekalan di negeri Pahang untuk tempoh sepuluh tahun bermula tahun 2026 sehingga tahun 2035. Skop RPH Negeri Pahang (20262035) ini adalah meliputi keseluruhan kawasan HSK dan melibatkan jangka masa pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 dan ke-14. Penyediaan dokumen RPH ini adalah selaras dengan keperluan untuk memelihara, memulihara dan mengurus sumber hutan secara berkekalan seperti dinyatakan di dalam Seksyen 2 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). Dokumen ini juga disediakan berdasarkan kepada piawaian yang digariskan di dalam dokumen Panduan Penyediaan Rancangan Pengurusan Hutan Bagi Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Matlamat utama RPH Negeri Pahang (2026-2035) adalah untuk menjamin kelestarian bekalan sumber kayu dan peranan hutan bagi keperluan pembangunan ekonomi dan sosial serta kelestarian perkhidmatan alam sekitar melalui pengurusan hutan secara berkekalan. Objektif RPH Negeri Pahang (2026-2035) yang digariskan adalah selari dengan objektif Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2021 yang meliputi:
- Pengurusan Sumber Hutan
- Amalan Sistem Pengurusan Memilih (SMS)
- Pemilihan Kawasan Hutan Terosot
- Pemeliharaan dan Perlindungan Kepelbagaian Biologi
- Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA)
- Pengeluaran Sumber Kayu
- Penubuhan Ladang Hutan
- Pertumbuhan Industri Berasas Kayu
- Perhutanan Masyarakat
- Pengurusan Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri
Sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia dengan keluasan berjumlah 3,600,594.57 juta hektar, negeri Pahang masih dapat mengekalkan dan melindungi kawasan berhutan. Jumlah keluasan kawasan berhutan di negeri ini (termasuk HSK, Hutan Tanah Kerajaan dan Hutan Taman Hidupan Liar) adalah seluas 2,046,821.45 hektar atau bersamaan dengan 56.84% daripada keseluruhan keluasan negeri dan sebanyak 1,588,595.75 hektar adalah kawasan HSK yang telah diwartakan. Di bawah peruntukan Seksyen 10(1) Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986, terdapat 11 kelas hutan dalam HSK di negeri Pahang. Pengelasan ini bertujuan untuk membolehkan kawasan HSK tersebut diurus dengan lebih berkesan dan fokus kepada kelas yang telah dikenal pasti dan seterusnya bagi mencapai pengurusan hutan secara berkekalan. Justeru itu, RPH Negeri Pahang (2026–2035) telah menggariskan tatacara pengurusan hutan yang meliputi aspek pengurusan hutan pengeluaran (hutan darat, hutan paya gambut dan ladang hutan), perlindungan tanah, tebus-guna tanah, tadahan air, hidupan liar, pelajaran, penyelidikan, hutan simpanan hutan dara, hutan lipur atau taman eko-rimba dan pengurusan hutan bagi maksud-maksud persekutuan. Bagi memastikan aspek pengurusan hutan dapat dijalankan dengan berkesan, RPH Negeri Pahang (2026–2035) telah menyediakan strategi dan pelan tindakan pengurusan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh RPH ini. Ia akan menjadi panduan bagi memastikan setiap aktiviti pengurusan dan amalan perhutanan yang lain di dalam RPH berjalan sebagaimana yang dihasratkan dan mengikut rancangan yang telah ditetapkan. Strategi dan pelan tindakan yang dirancang dalam tempoh RPH ini merangkumi:
- Pengurusan Sumber Hutan dan Fungsi-Fungsi Hutan
- Pemulihan dan Pengurusan Kawasan Hutan Terosot
- Pengurusan Hutan Perlindungan Khas dan Kawasan Hutan Istimewa
- Sistem Maklumat, Pemetaan dan Teknologi
- Pemantapan Infrastruktur dan Logistik
- Pemantauan dan Penguatkuasaan
- Penilaian Sumber Hutan (Inventori Pre-F, Post-F, Rawatan Silvikultur)
- Penubuhan Ladang Hutan
- Pengurusan Industri Berasas Kayu
- Perhutanan Masyarakat
- Pembangunan Keupayaan dan Modal Insan
Memandangkan sektor perhutanan adalah suatu sektor yang dinamik, RPH Negeri Pahang (2026-2035) ini perlu dikemaskinikan dengan sewajarnya dari semasa ke semasa supaya selari dengan perubahan masa dan kemajuan sektor perhutanan negeri dengan mengambil kira perubahan sosial, tadbir urus dan alam sekitar yang berlaku di negeri Pahang. Semakan separuh penggal akan dilaksanakan sekurangkurangnya lima (5) tahun selepas dilaksanakan iaitu pada tahun 2030 bertujuan untuk menilai prestasi dan kemajuan untuk kerja yang akan dilaksanakan daripada segi kewangan, sumber manusia dan fizikal serta mengenal pasti masalah dan isu yang timbul daripada pelaksanaannya. Selain itu, pemantauan dan penilaian adalah unsur penting dalam RPH ini yang perlu disemak secara tahunan. Semakan ini mestilah mengikut peraturan pengauditan yang telah ditetapkan. Tambahan pula, perlu juga semakan yang luwes di mana terdapat komponen-komponen yang boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Secara keseluruhannya, RPH Negeri Pahang (2026-2035) ini adalah satu dokumen lengkap yang dapat membantu JPNP dalam merancang, mentadbir dan mengurus hutan khususnya HSK secara teratur dan sistematik demi mencapai pengurusan hutan secara berkekalan dalam tempoh sepuluh (10) tahun. Pelaksanaan RPH Negeri Pahang (2026-2035) yang teratur dan cekap akan dapat memastikan sumber hutan negeri Pahang terus diurus secara optimum, berdaya tahan dan dijangka dapat membantu meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada hasil negeri, memperkukuh peranan hutan sebagai penyokong utama perkhidmatan ekosistem dan kepelbagaian biologi, serta memacu pembangunan sosioekonomi negeri. Seterusnya, JPNP hendaklah mengekalkan prestasi cemerlang melalui pengiktirafan pensijilan pengurusan hutan bagi tempoh pelaksanaan RPH Negeri Pahang (2026 – 2035).