Skip to main content

Perutusan Pengarah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Selamat Datang dan terima kasih kepada kerana melayari Portal Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pertamanya, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan-Nya, JPNP dapat mewujudkan portal yang bermaklumat agar bermanfaat kepada para pengunjung ke arah perkhidmatan awam dengan lebih cekap dan berkesan selaras dengan teknologi semasa khususnya dalam konteks menyokong pencapaian matlamat Kerajaan Elektronik. Sesungguhnya usaha-usaha ke arah memanfaatkan Teknologi Internet melalui penggunaan laman web amatlah penting dalam proses perekayasan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan di jabatan ini. Melalui proses ini perolehan maklumat dan perkhidmatan dalam talian dapat disediakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Sebagai agensi peneraju dalam pengurusan sumber hutan dan sektor perhutanan Negeri Pahang, JPNP akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Kerajaan dan masyarakat. Selaras dengan perkembangan semasa, kawasan hutan tidak lagi diuruskan bagi maksud pengeluaran sumber, sebaliknya lebih kepada pengurusan perkhidmatan hutan yang penting untuk kehidupan manusia, flora dan fauna serta alam sekelilling amnya. Bagi tujuan itu, JPNP sentiasa berusaha bagi memastikan sumber hutan negeri, khususnya yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal diurus, dipelihara dan dibangunkan secara berkekalan dengan mematuhi acuan perundangan, peraturan dan hala tuju yang ditetapkan oleh Kerajaan. Penekanan akan turut diberikan kepada kecekapan dan keberkesanan mutu perkhidmatan yang lebih baik terutama di kawasan Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri di dalam Hutan Simpanan Kekal.

Selain daripada itu, JPNP juga berperanan memproses permohonan lesen industri berasas kayu, mengurus dan mempromosikan kawasan rekreasi/hutan lipur, mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan ke atas membanteras kegiatan pembalakan haram serta memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan hutan.

Dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sedia ada, saya sangat mengalu-alukan sebarang komen, cadangan atau pandangan membina dari pengunjung portal ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JPNP di atas komitmen, keazaman dan semangat kerja keras berpasukan yang telah dizahirkan dalam merealisasikan misi dan wawasan jabatan sebagai satu agensi terunggul dalam menguruskan dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan.

Harapan saya agar Portal Rasmi JPNP akan menjadi wadah rasmi dua hala dalam penyampaian maklumat yang lebih berkesan serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga tahun ini akan menjadikan kita semua penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab demi memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara tercinta.

Akhir kata, semoga portal ini dapat menjadi wadah dalam menyediakan dan menyebarkan maklumat kepada orang ramai sekaligus memperkenalkan serta mempromosikan keindahan alam semulajadi Negeri Pahang kepada dunia.

Selamat melayari Portal Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Sekian, terima kasih.

YH DATO' ZAINUDDIN BIN JAMALUDDIN (DIMP., AMP.)
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang