Skip to main content

Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest

   

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah memilih Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang sebagai lokasi penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands pada 10 hingga 14 Mac 2023 ini. Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa Taman Eko RImba Mossy Forest, Cameron Highlands AKAN DITUTUP kepada pengunjung bermula 10 hingga 13 Mac 2023 bagi memberi laluan kepada penganjuran ekspedisi ini.

Pelaksanaan ekspedisi ini melibatkan pelbagai disiplin yang merentas sempadan seperti aspek fizikal ekosistem hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna, eko-pelancongan, ekologi, rekreasi, geologi, arkeologi dan sosio-ekonomi. Ekspedisi saintifik yang dianjurkan ini disertai oleh para saintis dan penyelidik daripada pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Badan-Badan Bukan Kerajaan serta individu yang mempunyai minat khusus terhadap bidang pengurusan hutan serta kepelbagaian biologi hutan.

Objektif ekspedisi ini antaranya adalah untuk menyediakan platform kepada kumpulan pakar dan penyelidik membentang dan membincangkan hasil penemuan kajian dalam aspek fizikal kawasan, sumber biodiversiti dan produk eko-pelancongan yang diperolehi di TER Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang.

Selain itu dapat memperkaya dan mengemaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diterokai di dalam TER Mossy Forest.