• Laman Utama
  • Mengenai JPNP
  • Info Korporat
  • Perutusan Pengarah

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdullilah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya jua, kita telah sama-sama dapat menempuh cabaran sepanjang tahun 2022 dengan jayanya. Di kesempatan ini saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di atas komitmen, keazaman dan semangat kerja keras berpasukan yang telah di zahirkan sepanjang mengharungi tahun 2022 ini.

Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dianugerahkan satu pasukan yang sangat komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Saya akui dengan khidmat dan usaha yang berterusan ini kepada pihak jabatan telah memberi kejayaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Pelbagai program yang telah dirangka dan kejayaan-kejayaan yang diperoleh membuktikan kakitangan JPNP telah menunjukkan kesungguhan dalam mencapai sasaran yang ditetapkan. Antara kejayaan-kejayaan yang telah diraih oleh JPNP adalah :

  • Pengekalan Sijil Pengurusan Hutan di bawah Malaysian Criteria And Indicators For Forest Management Certification (MC&I)
  • Keluasan Hutan Simpanan Kekal seluas 1,596,021.28 hektar iaitu 44.38% daripada jumlah keseluruhan tanah keseluruhan negeri Pahang dan kawasan tadahan air seluas 354,876.83 hektar iaitu 10% daripada jumlah keseluruhan tanah negeri Pahang dan 22% daripada jumlah keseluruhan Hutan Simpanan Kekal ;
  • Kutipan hasil sebanyak RM135,069,907.33 melalui kutipan premium, royalti dan caj-caj lain (tidak termasuk kutipan ses berjumlah RM26 juta). Nilai kutipan ini merupakan kedua tertinggi di dalam rekod kutipan hasil JPNP;
  • Penganjuran Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 bertempat di Hutan Simpan Tanum, Sungai Yu di Daerah Lipis. Majlis ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
  • Penganjuran Persidangan Perhutanan Malaysia (MFC). Persidangan ini telah berlangsung pada 12 hingga 15 Jun 2022 di The Zenith Hotel, Kuantan.
  • Penyerahan Draf Laporan Periodic Review Rizab Biosfera Tasik Chini di Pejabat UNESCO oleh delegasi kerajaan negeri yang diketuai oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang. Kerajaan Negeri turut menayangkan video yang diterbitkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berkaitan usaha dan inisiatif pemuliharaan Rizab Biosfera Tasik Chini.
  • Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di bawah penyelarasan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah menganjurkan Program Pendakian 121 Puncak pada 16 Oktober 2022. Program ini diadakan secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia bersempena dengan sambutan ulang tahun ke -121 Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Untuk Negeri Pahang, sebanyak 17 buah kawasan pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal telah Berjaya ditawan oleh para MGP dan komuniti rekreasi.

Pelaksanaan lima (5) operasi bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan Negeri dan Persekutuan. Bagi kesalahan hutan pada tahun 2022, jumlah kes adalah sebanyak 33 kes dan jumlah kompaun dan ganti rugi yang diperolehi sebanyak RM3,780,461,98.

Selain itu, di dalam Majlis Anugerah Pahang 1st  Tahun 2022, JPNP telah menerima dua (2) anugerah dan telah membawa pulang hadiah berbentuk trofi dan wang tunai berjumlah RM52,000.00. Kerajaan Negeri juga telah memberikan saguhati insentif sebanyak RM10,000.00 bagi penyertaan jabatan di dalam kategori Penyertaan Anugerah Kutipan Hasil. Anugerah-anugerah yang diperolehi ialah:

  • Anugerah Pentadbiran Cemerlang (Sektor Hasil)
  • Anugerah Kutipan Hasil Melebihi RM100 juta


Bagi tahun 2023, Jabatan telah merancang beberapa perancangan penting bagi menjadikan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ini terus berdiri teguh menjadi sebagai salah satu agensi yang berdaya saing, kreatif, berinovasi serta memberikan hasil kepada Kerajaan Negeri. Antara yang menjadi fokus Jabatan tahun ini adalah penambahan bagi pewartaan Hutan Simpanan Kekal, Sasaran hasil sekurang-kurangnya RM120,000,000.00, memperoleh Persijilan semula Sijil Pengurusan Hutan di bawah Malaysian Criteria And Indicators For Forest Management Certification (MC&I) & SFM, Penubuhan Hutan Taman Negeri Lubuk Yu, Ekspedisi Saintifik Mossy Forest serta pelbagai program, seminar dan aktiviti perhutanan yang lainnya. Selain itu, bagi tahun 2023 juga JPNP mensasarkan untuk memenangi anugerah kecemerlangan pentadbiran dan kewangan serta anugerah-anugerah lain yang dipertandingkan.

Sehubungan itu, saya menyeru semua warga JPNP agar berfikiran terbuka dalam melaksanakan perubahan agar perkhidmatan JPNP dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Saya mendoakan semoga warga JPNP terus beristiqamah dan beriltizam dalam menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang, menjaga imej jabatan dan negeri, mengurangkan ketirisan dan berintegriti sepanjang menjalankan tugas. Penggemblengan usaha dan kerjasama yang dipupuk perlu diteruskan dalam segala aspek tugasan bagi mencapai penghasilan yang optimum dan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

Akhir kata, semoga kita bersama-sama menjadi warga kerja yang berdaya saing, berintegriti dan berpengetahuan luas untuk terus maju. Selamat berbakti kepada agama, bangsa, organisasi dan negara.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


PENGARAH PERHUTANAN NEGERI
PAHANG DARUL MAKMUR

Info Jabatan

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Tingkat 5, Kompleks Tun Razak,
Bandar Indera Mahkota, 25990 Kuantan,
Pahang, Malaysia.
Tel: +(609) 5732911
Fax: +(609) 5736152
Emel: forestry[at]pahang[dot]gov[dot]my

Map JPNP   Streetview JPNP   Instagram JPNPFacebookJPNP

Paparan & Statistik Pelawat

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.
Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir : Rabu 08 November 2023.
Hari Ini 164
Semalam 329
Minggu Ini 836
Bulan Ini 7264
Jumlah Pelawat 406169
Test

sasasasasasasasa