Dasar dan strategi jangka panjang Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) adalah berpandukan kepada Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) yang telah diterima pakai oleh Kerajaan Negeri. Secara amnya dasar ini memperkukuhkan penubuhan Hutan Simpanan Kekal, pengusahasilan secara saintifik dan teratur unutk menjaminkan bekalan kayu-kayan yang berterusan. Ia juga memberikan perhatian khusus kepada Pembangunan Industri Berasaskan Kayu serta masyarakat umum tentang kepentingan sektor perhutanan selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992). Berpandukan kepada dasar di atas, bidang-bidang keutamaan Pembangunan Hutan yang dirumuskan adalah seperti berikut:-
PENGURUSAN SUMBER HUTAN
Memperkukuhkan kedudukan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), menyediakan Rancangan Pengurusan HUtan Negeri dan Rancangan Tahunan HUtan berpandukan kepada amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.
PENGUSAHASILAN SUMBER HUTAN
Melaksanakan operasi pengusahasilan hutan mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) secara sistematik dan terkawal demi untuk mengurangkan kerosakan terhadap dirian tinggal serta anak benih dan mengawal keseimbangan ekologi serta kestabilan alam sekitar dengan melaksanakan pengusahasilan hutan mengikut Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan.
PEMBANGUNAN SUMBER HUTAN
Melaksanakan kerja-kerja pemulihan hutan asli secara teratur menerusi rawatan silvikultur ke arah mencapai produktiviti hutan maksimum dengan mempergiatkan usaha-usaha menghutan semula kawasan-kawasan Hutan Simpanan Kekal yang kurang proaktif.
PEMBANGUNAN INDUSTRI KAYU KAYAN
Mengawal selia perjalanan industri-industri berasaskan kayu ke arah mempertingkatkan mutu pengeluaran dan menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan kayu secara hiliran di samping keluaran utama bagi meningkatkan nilai tambah kepada industri dan hasil negeri serta memberi nasihat teknikal dari masa ke semasa.
PEMULIHAN DAN REKREASI
Mengawal selia kawasan hutan secara intensif bagi kestabilan alam sekitar dan mengekalkan kepelbagaian hayat di dalam hutan asli serta mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan rekreasi tanpa menjejaskan keasliannya.
PENGEMBANGAN DAN LATIHAN
Melaksanakan aktiviti-aktiviti pengembangan dan serantau kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran awam tentang peranan perkhidmatan Jabatan Perhutanan. Memberi segala bentuk nasihat teknikal berhubung dengan hutan dan fungsinya serta berkenaan dengan pokok dan peranannya. Meningkatkan kecekapan kakitangan menerusi program-program latihan, kursus dan seminar untuk memberi pendedahan asas profesionalisme perhutanan di kalangan pegawai-pegawai hutan mengikut peredaran masa.
PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
Melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan hutan secara berkekalan dan intensif berdasarkan kepada Enakmen Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985, Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987, Kaedah-Kaedah Hutan 1988 dan Kaedah Industri Berasaskan Kayu 1990 serta melengkapkan pasukan atau unit penguatkuasaan dengan alat-alat kemudahan dan kemahiran di dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan.