Skip to main content

Profil Jabatan

  • Seksyen Perancangan Hutan

    Seksyen Perancangan Hutan

    Fungsi Seksyen:

    1. Menyediakan laporan bulanan/suku tahun/tahunan di bawah program pembangunan hutan dan mengkaji keberkesanan kos projek-projek yang telah dilaksanakan;
    2. Menyediakan anggaran belanjawan tahunan pembangunan hutan berasaskan program Rancangan Malaysia (RMK) yang telah ditetapkan;
    3. Menyediakan Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) serta memantau pelaksanaan program pembangunan hutan selaras dengan kehendak Kup Tahunan yang diluluskan; dan
    4. Menyediakan Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan laporan-laporan berkaitan yang diperlukan oleh Jabatan.
  • Unit Maklumat Hutan

    Unit Maklumat Hutan

    Fungsi Unit:

    1. Membantu melaksanakan kajian dan penilaian terhadap kawasan Tanah Kerajaan yang sesuai untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK);
    2. Melaksanakan dan memantau projek-projek dariada peruntukan Wang Levi Kayu Kayan;
    3. Melaksanakan kerja-kerja mengukur, menanda, mencuci dan menyelenggara sempadan luar HSK; dan
    4. Bertanggungjawab menjalankan semakan dan pengesahan sempadan luar HSK bagi permohonan pengusahasilan di atas Tanah Kerajaan dan Tanah Milik yang bersempadan dengan HSK.
  • Pusat Latihan Pembangunan Hutan

    Pusat Latihan Pembangunan Hutan

    Fungsi PLPH:

    1. Menyediakan program pengembangan dan latihan bagi jabatan, swasta dan agensi-agensi lain;
    2. Menilai keperluan, latihan sumber manusia dalam aspek perhutanan di peringkat negeri; dan
    3. Merangka dan melaksanakan program peperiksaan perkhidmatan dan peperiksaan khas.
  • Unit Silvikultur

    Unit Silvikultur

    Unit ini terbahagi kepada dua (2) zon iaitu Zon Timur dan Zon Barat.

    Fungsi Unit:

    1. Melaksanakan dan memantau aktiviti-aktiviti ladang hutan dan membiakbaik pokok serta kegiatan tapak semaian dan petak-petak kajian/penyelidikan;
    2. Menjalankan dan memantau projek-projek Bancian Hutan Post-F dan Rawatan Silvikultur.
    3. Memantau pelaksanaan program pembangunan hutan dan Rancangan Tebangan dan Rawatan tahunan (RTRT) selaras dengan kehendak Kup Tahunan yang diluluskan;
    4. Memantau pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 JPSM supaya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mencapai tahap yang dikehendaki;
    5. Melaksanakan kempen kesedaran kepada masyarakat awam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti menjalankan program penanaman pokok;
    6. Mengurus dan memantau Kawasan Pemeliharaan Hutan Bernilai Tinggi (High Conservation Value Forest);
    7. Melaksanakan program pemeliharaan in-situ dan ex-situ untuk pembangunan sumber kepelbagaian biologi negara (VJR, petak ekologi dan petak contoh); dan
    8. Menyediakan dan melaksanakan Pelan Perlindungan Hutan (Penyakit, Kebakaran : Kawalan dan Pencegahan).
  • Seksyen Ladang Hutan

    Seksyen Ladang Hutan

    Fungsi Seksyen:

    1. Bertanggungjawab dalam melaksanakan projek ladang hutan bertujuan untuk menjamin bekalan kayu-kayan secara berkekalan di samping mengurangkan tekanan dan permintaan yang tinggi ke atas sumber hutan asli yang sedia ada; dan
    2. Menanam spesies-spesies pokok ubatan dan herba, pokok hutan untuk landskap perhutanan bagi tujuan perlindungan dan sebagainya.

Perutusan Pengarah-2022

 

 

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Buku laporan ini adalah istimewa kerana ia memaparkan data, fakta serta aktiviti JPNP bagi tahun 2021 dan dokumentasi ini dapat akan dijadikan bahan pengetahuan, rujukan, panduan dan rekod kepada kita semua.

Usaha dan pencapaian yang telah dicapai oleh JPNP pada tahun 2021 antaranya ialah;

  • Pengekalan Sijil Pengurusan Hutan di bawah Malaysian Criteria And Indicators For Forest Management Certification (MC&I);
  • Pertambahan pewartaan keluasan Hutan Simpanan Kekal seluas 7,641.44 hektar;
  • Kutipan hasil hutan berjumlah RM125,733.93 melalui kutipan bayaran premium, royalti dan caj-caj lain;
  • Penyediaan peruntukkan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) sebanyak RM50,000.00 bagi lima (5) Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin;
  • Penswastaan sebanyak 14 buah kawasan eko pelancongan berstatus Hutan Simpanan Kekal di seluruh negeri termasuk satu projek mega berkaitan pembangunan ekopelancongan kawasan sukan berbasikal ekstrem di Hutan Simpan Bukit Tinggi, Daerah Bentong;
  • Pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta.Sebanyak 3,341,731 pokok telah ditanam pada tahun 2021 dan Kerajaan Negeri turut menyokong kempen ini dengan melancarkan program 1 Pokok, 1 Rakyat Negeri Pahang untuk merancakkan usaha kempen di negeri ini;
  • Pelaksanaan sembilan (9) operasi bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan Negeri dan Persekutuan iaitu Ops Naga, Ops Kilang, Ops Lemang, Ops Lombong, Ops Pamah, Ops Cincang, Ops Transit dan Ops Bersepadu Khas serta Ops Khazanah. Sebanyak 44 buah jentera pelbagai kenderaan telah berjaya dirampas sepanjang penguatkuasaan dilaksanakan;
  • Bagi kesalahan hutan pada tahun 2021, jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 77 kes di mana 11 kes telah dibawa pendakwaan ke mahkamah, 5 kes telah diselesaikan dimana 3 kes disabitkan kesalahan dan 2 lagi kes dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah. Manakala 6 kes belum selesai dan dibawa sebutan dan perbicaraan ke tahun semasa iaitu 2022. Pada tahun 2021 sebanyak 77 kes telah direkodkan. Jumlah kompaun dan ganti rugi yang diperolehi sebanyak RM3,886,130.

Pengemblengan usaha dan kerjasama yang dipupuk perlu diteruskan dalam segala aspek tugasan bagi mencapai penghasilan yang optimum dan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat dimanfaatkan oleh rakyat jelata. Tahniah dan syabas atas sumbangan dan inisiatif semua pihak dalam menerbitkan Laporan Tahunan JPNP 2021 dengan harapan ia dapat dijadikan penanda aras serta rujukan dan panduan dalam membuat perancangan pada tahun berikutnya.
Akhir kata, semoga kita bersama-sama menjadi warga kerja yang berdaya saing, berintegriti dan berpengetahuan luas untuk terus maju. Selamat berbakti kepada agama, bangsa, organisasi dan negara.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dato’ Dr. Mohd Hizamri bin Mohd Yasin,
DIMP., PMP., AMP
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang

 

Perutusan Pengarah 2020

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan izinNya, tahun 2019 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan penghargaan syabas dan tahniah kepada seluruh warga kerja Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di atas komitmen, keazaman dan kerja keras berpasukan yang ditunjukkan dalam melaksanakan agenda 2019 sebagaimana yang dimanifestasikan di dalam Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Tahun 2019.

Tahun 2019 telah melabuhkan tirainya, pelbagai kejayaan dan pencapaian cemerlang telah dikecapi dan seterusnya membantu meningkatkan imej JPNP ke peringkat yang lebih tinggi. Antara rangkuman kejayaan utama yang diperolehi adalah:

  • Pengekalan Sijil Pengurusan Hutan di bawah Malaysian Criteria And Indicators For Forest Management Certification (MC&I) bermula pada tahun 2002 sehingga kini. Pensijilan inisememangnya amat penting bagi memastikan segala produk kayu-kayan yang berasal dari Negeri Pahang dapat terus dijual di pasaran antarabangsa;
  • Pelaksanaan penguatkuasaan pindaan Kaedah-Kaedah Hutan 1987 (Pindaan 2018) melalui kenaikan kadar premium pembalakan dan ses perhutanan berkuatkuasa 1 Januari 2019. Manakala kenaikan kadar royalti pula telah dikuatkuasa pada 1 Jun 2019;
  • Sebanyak lapan (8) Operasi Bersepadu telah berjaya dijalankan dengan kerjasama pelbagai Agensi Penguatkuasa Negeri dan Persekutuan bagi membanteras kesalahan hutan yang bersabit dengan undang-undang sedia ada iaitu Akta Perhutanan Negara 1984 (APN 1984) dan Enakmen Industri Berasas Kayu 1985 (EIBK, 1985). Operasi-Operasi Bersepadu tersebut adalah Ops Tanglung, Ops Lombong 4.0, Ops Tebas, Ops Ronda, Ops Lombong PTG, Ops Kilang, Ops Khazanah dan Ops Lestari 2.
  • Pewartaan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 4,746.143 hektar secara berperingkat (Hutan Simpan Sg. Ichat -121 hektar, Hutan Simpan Chini – 4,497.25 hektar, dan Hutan Simpan Sg. Yu – 127.893 hektar). Manakala seluas 134,502.2 hektar HSK diwartakan sebagai hutan perlindungan (Hutan Tadahan Air – 132,212.58 hektar dan Taman Negeri Cameron Highlands – 2,289.62 hektar) melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang;
  • Program restorasi, rehabilitasi dan tebus guna merupakan projek pemulihan kawasan hutan yang melibatkan seluas 33.12 hektar di kawasan Hutan Simpan Sg. Ichat dan kawasan lombong Tasik Chini. Selain itu, aktiviti penanaman pokok dan pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan secaraberterusan sepanjang tahun melibatkan penanaman lebih kurang 1 juta anak pokok;
  • Penubuhan Pusat Pemeriksaan Perhutanan yang merupakan inovasi terkini JPNP bagi pemeriksaan transit hasil hutan di sempadan Pahang - Johor yang telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia. Penubuhan Pusat Pemeriksaan Perhutanan yang terletak di Keratong, Daerah Rompin ini merupakan ‘pilot project’ yang menggantikan dan mengurangkan Balai Pemeriksaan Hutan Sementara bagi memperbaiki mutu kerja sedia ada dan mencegah ketirisan hasil hutan;

JPNP juga telah memperhebatkan sinergi transformasi bersama Kerajaan Negeri Pahang dengan menandatangani dua (2) Perjanjian Persefahaman iaitu;

  • Perjanjian Persefahaman antara Sime Darby Plantation dengan JPNP bagi perkongsian kepakaran dalam perlindungan kepelbagaian biologi hutan; dan
  • Perjanjian Persefahaman antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Shell Malaysia bagi projek ‘carbon offset’.

 

Sejajar dengan kehendak dunia moden yang serba pantas dan sarat dengan pelbagai isu global, ia menuntut strategi yang lebih kreatif, inovatif dan produktif untuk dipraktikkan. Justeru itu, saya menyeru agar seluruh warga Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk terus mengamal dan membudayakan prinsip P.U.A.S (Prioritise, Urgency, Aggresiveness dan Strategize) sebagai amalan kerja seharian dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Akhir kata saya berharap agar semua warga JPNP untuk terus berusaha meningkatkan kompetensi dan profesionalisme perkhidmatan penjawat awam ke tahap yang lebih tinggi. Pelaksanaan agenda 2019 yang berjaya perlu diteruskan serta ditambah baik, manakala kelemahan yang dikenalpasti perlu diperbaiki dan kegagalan dijadikan teladan sebagai panduan pada masa hadapan. Kejayaan dan kecemerlangan JPNP ini diwadahkan dalam Buku Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Tahun 2019 agar segala inisiatif yang dilaksanakan dapat dikongsikan bersama dan menjadi sumber rujukan kita dan agensi kerajaan yang lain.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 


Dato' Dr. Mohd Hizamri bin Mohd Yasin, DIMP., PMP., AMP.
Pengarah Perhutanan Negeri
Pahang Darul Makmur

Perspektif Jabatan

WAWASAN
Untuk menjadi agensi terunggul dalam pengurusan Hutan Tropika secara berkekalan.
MISI
Untuk mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan serta mengoptimumkan sumbangannya kepada pembangunan sosio - ekonomi negara.
PROSES UTAMA MS ISO 9001:2008
Pengurusan pengeluaran kayu secara berkekalan bagi hutan darat asli di Hutan Simpanan Kekal.
OBJEKTIF
  • Untuk menguruskan sumber hutan negara secara berkekakalan bagi pengeluaran berterusan hasil dan perkhidmatan hutan serta penggunaannya secara optimum, bersesuaian dengan keperluan alam sekitar.
  • Untuk meningkatkan bekalan hasil dan perkhidmatan hutan melalui aktiviti-aktivit perhutanan bersesuaian yang akan meningkatkan kualiti, produktiviti serta penggunaan sumber hutan.
  • Untuk terus membangunkan teknologi mantap yang bersesuaian dengan keperluan alam sekitar bagi pemeliharaan, pengurusan dan penggunaan sumber hutan.
  • Untuk memelihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, air dan tanah serta penggunaannya secara berkekalan.
  • Untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kilang-kilang pemprosesan berasaskan keluaran hutan serta menambahkan aktiviti-aktiviti hiliran dengan nilai tambah yang tinggi.
  • Untuk memperkukuhkan pembangunan sumber manusia bagi menyokong sektor perhutanan.
  • Untuk meningkatkan kesedaran awam berhubung peranan hutan terhadap alam sekitar dan pemeliharaan melalui pembelajaran serta penyebaran maklumat.
  • Untuk meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada pendapatan negara, pertukaran mata wang asing dan peluang-peluang pekerjaan.
STRATEGI KORPORAT
  • Mengekalkan keluasan Hutan Simpan Kekal sedia ada dan meningkatkan keluasannya.
  • Melaksanakan Kriteria, Petunjuk, Aktiviti dan Piawaian Pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (MC&I) dan MS ISO 9002.
  • Melaksanakan perancangan pengurusan hutan secara intensif dan sistematik serta mewujudkan Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) perhutanan terkini untuk meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada hasil negeri.
  • Menguruskan kawasan pengeluaran, pemeliharaan dan perlindungan hutan berdasarkan kelas penggunaannya, di samping menguatkuasakan undang-undang hutan yang cekap lagi berkesan.
  • Menyedia pelan induk untuk memajukan hutan lipur di samping mempromosikannya sebagai destinasi perlancongan.
  • Meningkatankan teknologi mesra alam dalam pengusahasilan serta penggunaan sisa-sisa hutan dan kilang selain menggalakkan pemprosesan hiliran keluaran hutan.
  • Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan hutan melalui penyebaran maklumat-maklumat perhutanan.
  • Menggalakkan serta menyokong program hutan tani dan aktiviti perhutanan bandar.
  • Melaksanakan program pembangunan sumber manusia.
  • Mengadakan kemudahan infrastruktur yang mencukupi.
DASAR KUALITI MS ISO 9001:2008
  • Jabatan Perhutanan Negeri Pahang adalah komited untuk memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan dalam Pengurusan Pengeluaran Kayu Secara Berkekalan bagi Hutan Darat asli di Hutan Simpan Kekal supaya dapat dilaksanakan dalam tempoh masa, kaedah dan peraturan-peraturan untuk memenuhi kehendak pelanggan.
  • Jabatan Perhutanan Negeri Pahang percaya perkara ini dapat dicapai melalui penerapan budaya kerja yang memenuhi keperluan MS ISO 9001:2008 pada semua peringkat kakitangan dalam pelaksanaan sistem pengurusan kualiti yang berkesan dengan komitmen yang tinggi dari pengurusan atasan hingga ke peringkat bawahan.
  • Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akan mengenalpasti dari semasa ke semasa kelemahan-kelemahan dalam organisasi dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan dengan menglibatkan semua tenaga kerja untuk menambahbaik secara berterusan Sistem Pengurusan Kualiti JPSM.
  • Semua ketua bahagian/unit akan memantau dan mengkaji prestasi sebenar pelaksanaan objektif-objektif kualiti yang telah ditetapkan di bawah bidang tugas dan tanggung jawab masing-masing dan mengambil tindakan segera apabila prestasi pelaksanaan tidak mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan.

Perlembagaan, Dasar dan Undang-Undang

1. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan

Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Senarai II dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan itu, isu tanah termasuk hutan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mutlak di dalam membentuk atau menerima sesuatu undang-undang dan peraturan hutan bagi mentadbir, mengurus dan membangunkan sumber hutan.

2. Majlis Perhutanan Negara

Bagi menyelaraskan hal-hal pentadbiran, pengurusan dan pembangunan hutan, Majlis Perhutanan Negara (MPN) telah ditubuhkan pada 20 Disember 1971 oleh Majlis Tanah Negara (MTN). Penubuhan MPN tidak berasaskan kepada mana-mana peruntukan dalam perlembagaan. MPN merupakan forum bagi Kerajaan Persekutuan dan Negeri membincangkan masalah dan isu bersama yang berkaitan dengan dasar, pentadbiran dan pengurusan perhutanan. Semua keputusan MPN perlulah disahkan oleh MTN. Tugas untuk melaksanakan keputusan MPN adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan-Kerajaan Negeri kecuali jika ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

3. Dasar Perhutanan Negara, 1978 (Pindaan 1992)

Dasar Perhutanan Negara (DPN) adalah merupakan satu garis panduan bagi menjamin pengekalan sumber hutan negara. Dasar Perhutanan Negara (DPN) telah diluluskan oleh MPN Dalam tahun 1977 dan kemudian disahkan oleh MTN pada 19 April, 1978. DPN ini telah dikaji semula pada 19 November, 1992 bagi menggubal pendekatan-pendekatan yang menyeluruh dalam pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber hutan untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sektor perhutanan

4. Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993)

Akta ini digubal bertujuan untuk memastikan pelaksanaan dan pencapaian objektif-objektif yang telah digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992). Ia adalah seragam di semua negeri di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan Enakmen-Enakmen Hutan yang telah digubal sebelum ini. Akta ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang sebagai Enakmen Perhutanan Negeri Pahang 1985 (Pindaan 1994) dan telah diwartakan pada 17 Disember 1993.  Enakmen ini mula berkuatkuasa pada 4 Februari 1994.

5. Kaedah-Kaedah Hutan 1987

Kaedah ini digubal sebagai panduan dan prosedur pelaksanaan Akta Perhutanan Negara (APN) di mana ia berpandukan Seksyen 111 APN 1984 (Pindaan 1993). Kaedah ini telah diwartakan pada 17 Disember 1987 dan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 1988.

6. Akta Industri Berasas Kayu 1984

Akta ini digubal bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan mewakilkan kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengendalikan aspek-aspek industri berasaskan kayu. Akta ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 29 November, 1985 sebagai Enakmen Industri Berasas Kayu 1985 dan telah diwartakan pada 31 Julai 1986.  Enakmen ini berkuatkuasa pada 1 Januari 1988.

7. Kaedah-Kaedah Industri Berasas Kayu 1987

Kaedah ini digubal sebagai panduan dan prosedur pelaksanaan Akta Industri Berasas Kayu 1984. Kaedah ini diwartakan pada 31 Disember 1987 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 1988.

8. Undang-Undang Lain Yang Berkaitan

  • Kanun Tanah Negara, 1965;
  • Kanun Keseksaan, (FMS Cap.45), 1948 (Pindaan 1993);
  • Kanun Acara Jenayah, (FMS Cap.6), 1903 (Pindaan 1995);
  • Akta Keterangan, 1950 (Pindaan 1993);
  • Akta Prosedur Kewangan, 1967 (Pindaan 1993);
  • Enakmen Bekalan Air, 1935;
  • Akta Perlindungan Tanah, 1960;
  • Akta Perlindungan Hidupan Liar, 1972 (Pindaan 1976 & 1988);
  • Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, 1973;
  • Akta Kualiti Alam Sekililing, 1974 (Pindaan 1995);
  • Akta Taman Negara, 1980 (Pindaan 1983);
  • Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Hutan Malaysia, 1985;
  • Enakmen Perlombongan 1926;
  • Akta Kerajaan Tempatan, 1976;
  • Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, 1994;
  • Dasar Kepelbagaian Biologi Negara, 1998;
  • Akta Orang Asli, 1954;
  • Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969;
  • Akta Pampasan Pekerja, 1952;
  • Akta Perhubungan Pengusahaan, 1967;
  • Akta Kesatuan Sekerja, 1959 (Akta 262);
  • Akta Pekerjaan, 1955;
  • Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, 1991;
  • Akta Kilang dan Jentera, 1967;
  • Akta Perikanan, 1985;
  • Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Negara Malaysia, 1999;
  • Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam, 2000;
  • Akta Pemuliharaan Tanah, 1960;
  • Akta Makhluk Perosak, 1974;
  • Akta Air, 1920;
  • Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, 2010;
  • Enakmen-enakmen Hutan Negeri

Lebih banyak artikel..