Skip to main content

Perutusan Pengarah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Selamat Datang dan terima kasih kepada kerana melayari Portal Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pertamanya, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan-Nya, JPNP dapat mewujudkan portal yang bermaklumat agar bermanfaat kepada para pengunjung ke arah perkhidmatan awam dengan lebih cekap dan berkesan selaras dengan teknologi semasa khususnya dalam konteks menyokong pencapaian matlamat Kerajaan Elektronik. Sesungguhnya usaha-usaha ke arah memanfaatkan Teknologi Internet melalui penggunaan laman web amatlah penting dalam proses perekayasan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan di jabatan ini. Melalui proses ini perolehan maklumat dan perkhidmatan dalam talian dapat disediakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Sebagai agensi peneraju dalam pengurusan sumber hutan dan sektor perhutanan Negeri Pahang, JPNP akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Kerajaan dan masyarakat. Selaras dengan perkembangan semasa, kawasan hutan tidak lagi diuruskan bagi maksud pengeluaran sumber, sebaliknya lebih kepada pengurusan perkhidmatan hutan yang penting untuk kehidupan manusia, flora dan fauna serta alam sekelilling amnya. Bagi tujuan itu, JPNP sentiasa berusaha bagi memastikan sumber hutan negeri, khususnya yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal diurus, dipelihara dan dibangunkan secara berkekalan dengan mematuhi acuan perundangan, peraturan dan hala tuju yang ditetapkan oleh Kerajaan. Penekanan akan turut diberikan kepada kecekapan dan keberkesanan mutu perkhidmatan yang lebih baik terutama di kawasan Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri di dalam Hutan Simpanan Kekal.

Selain daripada itu, JPNP juga berperanan memproses permohonan lesen industri berasas kayu, mengurus dan mempromosikan kawasan rekreasi/hutan lipur, mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan ke atas membanteras kegiatan pembalakan haram serta memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan hutan.

Dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sedia ada, saya sangat mengalu-alukan sebarang komen, cadangan atau pandangan membina dari pengunjung portal ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JPNP di atas komitmen, keazaman dan semangat kerja keras berpasukan yang telah dizahirkan dalam merealisasikan misi dan wawasan jabatan sebagai satu agensi terunggul dalam menguruskan dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan.

Harapan saya agar Portal Rasmi JPNP akan menjadi wadah rasmi dua hala dalam penyampaian maklumat yang lebih berkesan serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga tahun ini akan menjadikan kita semua penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab demi memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara tercinta.

Akhir kata, semoga portal ini dapat menjadi wadah dalam menyediakan dan menyebarkan maklumat kepada orang ramai sekaligus memperkenalkan serta mempromosikan keindahan alam semulajadi Negeri Pahang kepada dunia.

Selamat melayari Portal Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Sekian, terima kasih.

YH DATO' ZAINUDDIN BIN JAMALUDDIN (DIMP., AMP.)
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang

Strategi Jabatan

 

Dasar dan strategi jangka panjang Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) adalah berpandukan kepada Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) yang telah diterima pakai oleh Kerajaan Negeri. Secara amnya dasar ini memperkukuhkan penubuhan Hutan Simpanan Kekal, pengusahasilan secara saintifik dan teratur unutk menjaminkan bekalan kayu-kayan yang berterusan. Ia juga memberikan perhatian khusus kepada Pembangunan Industri Berasaskan Kayu serta masyarakat umum tentang kepentingan sektor perhutanan selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992). Berpandukan kepada dasar di atas, bidang-bidang keutamaan Pembangunan Hutan yang dirumuskan adalah seperti berikut:-

PENGURUSAN SUMBER HUTAN

Memperkukuhkan kedudukan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), menyediakan Rancangan Pengurusan HUtan Negeri dan Rancangan Tahunan HUtan berpandukan kepada amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

PENGUSAHASILAN SUMBER HUTAN

Melaksanakan operasi pengusahasilan hutan mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) secara sistematik dan terkawal demi untuk mengurangkan kerosakan terhadap dirian tinggal serta anak benih dan mengawal keseimbangan ekologi serta kestabilan alam sekitar dengan melaksanakan pengusahasilan hutan mengikut Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan.

PEMBANGUNAN SUMBER HUTAN

Melaksanakan kerja-kerja pemulihan hutan asli secara teratur menerusi rawatan silvikultur ke arah mencapai produktiviti hutan maksimum dengan mempergiatkan usaha-usaha menghutan semula kawasan-kawasan Hutan Simpanan Kekal yang kurang proaktif.

PEMBANGUNAN INDUSTRI KAYU KAYAN

Mengawal selia perjalanan industri-industri berasaskan kayu ke arah mempertingkatkan mutu pengeluaran dan menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan kayu secara hiliran di samping keluaran utama bagi meningkatkan nilai tambah kepada industri dan hasil negeri serta memberi nasihat teknikal dari masa ke semasa.

PEMULIHAN DAN REKREASI

Mengawal selia kawasan hutan secara intensif bagi kestabilan alam sekitar dan mengekalkan kepelbagaian hayat di dalam hutan asli serta mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan rekreasi tanpa menjejaskan keasliannya.

PENGEMBANGAN DAN LATIHAN

Melaksanakan aktiviti-aktiviti pengembangan dan serantau kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran awam tentang peranan perkhidmatan Jabatan Perhutanan. Memberi segala bentuk nasihat teknikal berhubung dengan hutan dan fungsinya serta berkenaan dengan pokok dan peranannya. Meningkatkan kecekapan kakitangan menerusi program-program latihan, kursus dan seminar untuk memberi pendedahan asas profesionalisme perhutanan di kalangan pegawai-pegawai hutan mengikut peredaran masa.

PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG

Melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan hutan secara berkekalan dan intensif berdasarkan kepada Enakmen Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985, Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987, Kaedah-Kaedah Hutan 1988 dan Kaedah Industri Berasaskan Kayu 1990 serta melengkapkan pasukan atau unit penguatkuasaan dengan alat-alat kemudahan dan kemahiran di dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan.

 

 

Pencapaian Piagam Pelanggan

Pencapaian Piagam Pelanggan Tahun 2024

Piagam Pelanggan Pencapaian (%)
Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogos Sept Okt Nov Dis
Lesen-lesen untuk mengeluarkan hasil hutan akan dikeluarkan dalam tempoh tidak melebihi enam (6) bulan dari tarikh kelulusan diberi, setelah semua syarat kelulusan dipatuhi 100 100   100  100  100   100   100  100   100    100   100   100
Lesen untuk menjalankan kilang berasaskan kayu akan dikeluarkan dalam tempoh masa tidak melebihi satu (1) bulan dari tarikh siap kilang dibina setelah memenuhi semua syarat kelulusan 100   100  100  100   100   100   100   100  100    100   100   100
Keputusan mengenai permohonan melanjutkan tempoh lesen mengeluarkan hasil hutan atau lesen menjalankan kilang berasaskan kayu akan diberi dalam tempoh tidak melebihi satu (1) bulan dari tarikh permohonan diterima 100   100  100  100   100   100   100  100    100   100   100   100

Hubungi Kami

Alamat:

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

Tingkat 5, Kompleks Tun Razak
Bandar Indera Mahkota
25990 Kuantan, Malaysia

Tel : +609 573 2911 / Faks : +609 573 6152
Emel : forestry[at]pahang.gov.my
Waktu Operasi:

Isnin hingga Khamis
8.00 pagi  - 1.00 petang
2.00 petang - 5.00 petang

Jumaat
8.00 pagi  - 12.15 tengahari
2.45 petang - 5.00 petang

* Terimaan bayaran sehingga jam 3.45 petang sahaja

Piagam Pelanggan

  • Semua permohonan untuk mengeluarkan hasil hutan atau menjalankan kilang berasaskan kayu akan diproses mengikut prosedur yang telah ditetapkan. 
  • Lesen untuk mengeluarkan hasil hutan akan dikeluarkan dalam tempoh tidak melebihi enam (6) bulan dari tarikh kelulusan diberi setelah semua syarat-syarat kelulusan dipatuhi.
  • Lesen untuk menjalankan kilang berasaskan kayu akan dikeluarkan dalam tempoh tidak melebihi satu (1) bulan dari tarikh siap kilang dibina setelah memenuhi semua syarat kelulusan.
  • Keputusan mengenai permohonan melanjutkan tempoh lesen mengeluarkan hasil hutan atau lesen menjalankan kilang berasaskan kayu akan diberi dalam tempoh tidak melebihi satu (1) bulan dari tarikh permohonan diterima.
  • Menghargai maklumat serta maklum balas yang diterima daripada orang awam. Semua aduan kesalahan hutan akan diambil tindakan dalam masa tidak melebihi tiga (3) hari.
  • Memberi perkhidmatan yang sebaik mungkin serta layanan yang mesra setiap masa.