Skip to main content

Program Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Daerah Bentong

Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong telah mengadakan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2022 Peringkat Daerah Bentong pada 31 Mac 2022 yang melibatkan kakitangan PHD Bentong, Jabatan-jabatan Kerajaan di daerah Bentong, Penghulu dan masyarakat kampung setempat.

Lokasi penanaman yang bertempat di dalam Kompartmen 59 Hutan Simpan Lentang berhampiran Kampung Sri Telemong telah disertai seramai 70 orang peserta.

Sebanyak 1,000 anak pokok telah ditanam di lokasi tanaman dan 100 pokok nadir disumbangkan kepada agensi kerajaan dan komuniti kampung untuk ditanam di jabatan/kampung masing-masing. Antara spesies yang ditanam ialah merbau, meranti mengkai, merawan siput jantan dan lain-lain. Manakala pokok nadir yang diserah kepada jabatan kerajaan dan komuniti ialah manggis, cempedak, jambu dan lain-lain. Aktiviti tanaman akan diteruskan oleh kakitangan PHD Bentong bagi mencapai sasaran sejumlah 3,500 anak pokok ditanam di tapak ini.

Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Daerah Rompin

Program tanaman pokok bagi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dijayakan pada 31 Mac 2022 oleh kakitangan Renj Muadzam bertempat di Sekolah Kebangsaan Kg. Aur, Ibam.

Sebanyak 200 anak pokok telah diserah kepada pihak sekolah untuk ditanam. Antara spesies pokok yang ditanam ialah cempedak, manggis, duku, belimbing buluh, belimbing besi, rambutan, tampoi, sentul dan kedondong.

Seramai 60 orang murid serta guru telah menyertai program ini. Turut terlibat ialah Ahli JPKK Kg. Aur serta penduduk setempat.

Program Rakan Muda Day Out “Go Green”

Program Rakan Muda Day Out “Go Green” sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Daerah Maran Tahun 2022 telah diadakan pada 28 Mac 2022.

Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan/Pekan/Maran menyumbang 300 pokok balak dan hiasan kepada Areno Maran Hill Golf Resort (MHGR).

Selain itu, 50 pokok turut diberikan kepada Pejabat Daerah Maran (MDM) untuk di tanam di kawasan Tasik Jengka.

Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Pasar Minggu Raub

Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Pasar Minggu Raub. Sejumlah 200 anak pokok telah berjaya diedarkan kepada para pengunjung pasar minggu pada 27 Mac 2022.

Terima kasih semua yang terlibat.

Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022

Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 pada 26 Mac 2022 majlis telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.

Majlis yang diadakan di Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) PL1, Hutan Simpan Tanum, Sungai Yu di daerah Lipis ini turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan Yang Berhormat Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun ini disambut bersama Kempen Penghijauan Malaysia yang mula dilancarkan pada 5 Januari 2021 yang lalu. Tema sambutan peringkat kebangsaan pada tahun ini ialah “Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat.”

KDYMM Tuanku turut bercemar duli menanam anak pokok spesies tampoi di tapak perasmian dan menyampaikan anak-anak pokok kepada wakil agensi dan komuniti tempatan sebagai tanda sokongan kepada Kempen Penghijauan Malaysia.

YAB Menteri Besar Pahang turut mengumumkan pertambahan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebanyak 127.89 hektar di dalam koridor ekologi CFS tersebut yang dinamakan Hutan Simpan Ulu Jelai - Hutan Simpan Tanum. Ini adalah merupakan komitmen Kerajaan Negeri Pahang bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyokong penuh hasrat kerajaan persekutuan dengan menambah kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.

Bersempena dengan sambutan ini juga, pada 16 Mac 2022 yang lalu JPNP telah mengadakan Program Pra-Penanaman Pokok di bawah projek Improving Connectivity of the Central Forest Spine (IC-CFS). Sebanyak 2,000 anak pokok pelbagai spesies yang terdiri daripada meranti sarang punai, merawan, perah, kerdas dan petai telah ditanam di dalam kawasan Kompartment 3, Hutan Simpan Tanum di Koridor Ekologi CFS-PL1. Seramai 200 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, komuniti setempat dan NGO telah menyertai program berkenaan.