Skip to main content

Pengenalan Program

AGENDA PENGHIJAUAN MALAYSIA (Greening of Malaysia Agenda): KEMPEN PENANAMAN 100 JUTA POKOK

LATAR BELAKANG

“Dalam usaha memperkayakan khazanah hutan pula, kerajaan akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12. Satu kerangka kewangan inovatif akan dilaksanakan bertujuan menyediakan insentif kewangan kepada semua Kerajaan Negeri bagi melindungi dan memelihara kawasan berhutan.”

Kenyataan diambil semasa YAB Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-77 pada 8 September 2020.

KEMPEN PENANAMAN POKOK DI SELURUH DUNIA

Negara Nama Program/Gerakan Tempoh (Tahun) Jumlah Pokok Ditanam
Australia One Billion Trees Programme 2020-2030 (11 tahun) 1 bilion
Canada 50 Million Tree Program 2007-2025 (18 tahun) 50 juta
India 220 Million Tree Planting in One Day 9 Ogos 2019 (1 hari) 220 juta
New Zealand One Billion Trees Programme 2018-2028 (11 tahun) 1 bilion
Pakistan Plant4Pakistan: 10 Billion Tree Tsunami 2018-2023 (5 tahun) 10 bilion
Singapore Plant A Tree Day- disambut setiap tahun pada hari Ahad pertama bulan November Semenjak 1971 -
India Planting week Semenjak 1950 -

KEMPEN MENANAM 26 JUTA POKOK

Tahun    : 2010 – 2014
Tema     : "Hijaukan Bumi: 1 Warga 1 Pokok"
Tempoh : 5 tahun

LOGO DAN TEMA KEMPEN 100 JUTA POKOK



Tiga (3) Pokok Merbau 
- Pokok kebangsaan yang menjadi lambang keutuhan integriti hutan Negara
- Simbolik kepada perpaduan dan penglibatan kempen antara 3 Wilayah, Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Dua (2) Tangan
- Merupakan simbol perpaduan dalam memelihara bumi demi kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat
- Tangan kelihatan muda (simbolik kepada generasi muda), yang bermaksud generasi harapan untuk terus menggembeling tenaga demi menghijaukan bumi Malaysia

Warna Biru
- Lingkaran biru melambangkan elemen air dan alam semesta
- Antara fungsi penting hutan sebagai kawasan tadahan hujan dan penyeimbang kepada ekosistem daripada pemanasan global

Warna Hijau
-  Lingkaran hijau melambangkan litupan pokok dan hutan yang subur
- Mewakili warna identiti alam dan tenaga bersesuaian dengan peranan yang dimainkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
- Melambangkan kesegaran, kedamaian dan ketenangan mahupun santai

KEMPEN PENANAMAN 100 JUTA POKOK 2021 – 2025

Perasmian

Pelancaran serentak di seluruh Negara pada 5 Januari 2021

Sasaran Kempen

100 juta pokok ditanam dalam tempoh 5 tahun (2021 – 2025)

Tema Kempen

“Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita”

“Greening Malaysia: Our Trees, Our Life”

Tujuan

Meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk  kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara .

Objektif Kempen

  1. Mengekalkan kawasan hijau di seluruh negara selain memelihara serta memulihara kawasan berhutan
  2. Meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan serta memupuk semangat cintakan alam semula jadi
  3. Merakyatkan komitmen dan semangat pengekalan kawasan liputan hijau sebagai satu agenda nasional
  4. Memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai
  5. Menggalakkan penyertaan agensi kerajaan persekutuan/negeri, syarikat swasta dan badan korporat, badan bukan kerajaan, institusi-insitusi pendidikan/penyelidikan dan orang awam dalam usaha penanaman pokok
  6. Merealisasikan Agenda Penghijauan Malaysia sebagai agenda nasional bagi menangani fenomena perubahan iklim dan alam sekitar serta peningkatan kualiti hidup masyarakat; da
  7. Memperkukuhkan sokongan pembangunan Negara ke arah pencapaian Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama dan Sustainable Development Goal 2030.

Definisi Pokok

Definisi pokok di bawah kempen ini: Tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun.

APLIKASI DAN PORTAL KEMPEN 100 JUTA POKOK

Objektif
-  Merekod dan menyimpan maklumat berkaitan pencapaian penanaman serta maklumat-maklumat lain di bawah kempen
- Memudahkan capaian dan analisis data bagi tujuan pemantauan pelaksanaan kempen
- Menyampaikan maklumat berkaitan kempen kepada kumpulan sasaran

Medium Pemantauan Pelaksanaan Kempen

1.   Domain laman web. www.100jutapokok.gov.my
2.   Aplikasi Program Penghijauan Malaysia boleh dimuat turun di peranti mudah alih menerusi Google Playstore, App Store atau AppGallery.

 

Notis Pembukaan Taman Negeri Rompin, Pahang.

Sukacita dimaklumkan bahawa Taman Negeri Rompin, Pahang telah dibuka semula kepada semua pengunjung mulai 25 Mac 2023 (Sabtu).

Bagi pengunjung yang ingin beristirehat dan menikmati pengalaman percutian yang santai di dalam hutan hujan tropika, ayuh lawatilah Taman Negeri Rompin, Pahang.
 
Relax, Refresh and Reconnect with Nature.

 

Execellence Green Tourism Award

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menerima dua anugerah iaitu Execellence Green Tourism Award masing-masing untuk Taman Eko-Rimba Mossy Forest, Daerah Cameron Highlands dan Taman Negeri Rompin, Daerah Rompin pada 30 Mac 2023 bertempat di Rekascape, Cyberjaya.
 
Kedua-dua anugerah tersebut telah disampaikan dalam majlis International Conference on Cultural Tourism and Education 2023 Malaysia (Selangor and Pahang) and China (Heilongjiang) Cultural Economy Coorporation Summit (ICCTE 2023). Majlis anjuran Malaysia-China Cultural Tourism Association dan ECI Higher Education tersebut memberi pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan JPNP dalam komitmen dan usaha pembangunan produk ekopelancongan berasaskan sumber hutan dan pemeliharaan sumber biodiversiti secara mampan.
 
Anugerah-anugerah tersebut telah disampaikan oleh YBrs. Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

 

Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands

Ekspedisi Saintifik Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands telah bermula pada 10 Mac 2023 (Jumaat) dan telah mengumpulkan seramai 70 orang penyelidik dari 10 bidang kajian. Antaranya ialah tumbuhan, eko-pelancongan, burung, reptilia, avifauna, fungi, geologi, mamalia, serangga dan lain-lain. Perasmian ekspedisi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal), YBhg. Dato' Rahim bin Rani pada hari sama jam 8.30 malam di Nova Highlands Hotel.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah melantik Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latiff bin Mohamad yang mempunyai kepakaran dalam bidang botani dan biologi pemuliharaan sebagai Ketua Ekspedisi. Beliau merupakan pesara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan masih bergiat aktif dalam penyelidikan berkaitan perhutanan. Kajian dalam ekspedisi yang akan berlangsung selama lima hari (tiga hari kajian di lapangan) ini bertumpu di sekitar Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest dengan empat denai disediakan sebagai kawasan kajian yang boleh dimasuki oleh penyelidik. Jabatan juga turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Malim Gunung Perhutanan Daerah Cameron Highlands (PMGPCH)  yang bertindak sebagai pasukan keselamatan dan trail master bagi setiap denai.

YBhg. Dato’ Rahim bin Rani telah memulakan hari pertama ekspedisi melalui sesi flag-off sebagai simbolik pelepasan peserta dan bermulanya Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands.

Peserta telah dibahagi mengikut denai-denai kajian yang telah ditetapkan oleh JPNP bagi membantu para peserta ekpedisi saintifik menjalankan kajian. Terdapat empat denai disediakan yang mempunyai daya tarikan dan keunikan yang tersendiri iaitu:
Denai 1 – Boardwalk dan sekitar Dataran Irau
Denai 2 – Denai Puncak Mat
Denai 3 – Denai Mini Irau
Denai 4 – Denai Corybas

Terdapat juga kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian pada sebelah malam iaitu penyelidik kelawar dan reptilia.

Terdapat beberapa spesies endemik di Cameron Highlands telah ditemui sepanjang espedisi ini. Antaranya adalah spesies Macrocalamus schulzi (Schulz's Reed Snake) yang masih tiada nama tempatan. Ular ini telah ditemui oleh Penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Spesies endemik reptilia lain yang turut ditemui ialah Malayodracon robinsonii (Robinson's Angle-headed Lizard) dan Niviventer cameroni (Cameron Highlands white-bellied rat). Kedua-dua spesies ini telah ditemui oleh kumpulan penyelidik reptilia dari UMT dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Manakala pasukan penyelidik dari bidang geologi telah menemui dua jenis batuan utama iaitu granit dan batuan kuarza. Daik kuarza merupakan penemuan terbaru dan belum dipetakan lagi di cameron Highlands. Selain kajian flora dan fauna, pasukan penyelidik juga melakukan kajian bagi penilaian risiko denai pendakian ke Gunung Irau.
Pelbagai spesies lumut dan paku pakis juga telah direkodkan dalam ekspedisi ini.

Penemuan pada kali ini telah menepati objektif ekspedisi santifik iaitu memperkaya dan mengemaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diteroka di dalam kawasan TER Mossy Forest. Selain itu juga ianya menggalakkan jaringan kerjasama penyelidikan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan agensi penyelidikan kerajaan.

Program Konservasi Denai Gunung Irau Sempena Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands

Pada 13 Mac 2023, satu program konservasi denai Gunung Irau telah diadakan melibatkan 16 kakitangan Jabatan serta penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
 
Objektif program adalah untuk meninjau tahap keselamatan denai selain menilai hidupan flora dan fauna yang ditemui di sepanjang denai sepanjang 3 km tersebut. Gunung Irau yang berketinggian 2,110 meter dari aras laut merupakan gunung ke-11 tertinggi di Semenanjung Malaysia dan antara gunung yang paling senang diakses oleh orang awam, menjadikannya destinasi popular oleh pendaki 'beginner' dan 'intermediate'.
 
Sebarang pertanyaan mengenai Gunung Irau sila hubungi Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands dan dapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan sebelum memulakan pendakian.