Skip to main content

Seminar Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan bagi Taman Negeri Rompin

Seminar Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan bagi Taman Negeri Rompin, Pahang akan diadakakan pada 16 Mac 2023 (Khamis) bertempat di Swiss-belhotel Kuantan, Tanjung Lumpur.

Seminar ini memberi platform kepada para penyelidik untuk membentangkan hasil dapatkan kajian biodiversiti di bawah Geran Penyelidikan Taman Negeri Rompin, Pahang.

Operasi Penguatkuasaan Secara Bersepadu di Hutan Simpan Bukit Tinggi, Bentong

Pada 1 dan 2 Mac 2023 satu Operasi Penguatkuasaan Secara Bersepadu telah diadakan di Hutan Simpan Bukit Tinggi, Daerah Bentong.

Operasi ini dianggotai oleh 68 orang terdiri dari Seksyen Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Hutan Daerah Bentong, Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Daerah & Tanah Bentong bertujuan untuk memusnahkan tanaman dan kongsi yang dibina secara haram di dalam hutan simpan berkenaan.

Sejumlah 250 pokok hutan turut ditanam semula oleh anggota operasi di kawasan ini setelah operasi selesai dijalankan. Pokok-pokok ini akan dipantau dan dirawat secara berjadual oleh Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat.

Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest

   

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah memilih Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang sebagai lokasi penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest, Cameron Highlands pada 10 hingga 14 Mac 2023 ini. Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa Taman Eko RImba Mossy Forest, Cameron Highlands AKAN DITUTUP kepada pengunjung bermula 10 hingga 13 Mac 2023 bagi memberi laluan kepada penganjuran ekspedisi ini.

Pelaksanaan ekspedisi ini melibatkan pelbagai disiplin yang merentas sempadan seperti aspek fizikal ekosistem hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna, eko-pelancongan, ekologi, rekreasi, geologi, arkeologi dan sosio-ekonomi. Ekspedisi saintifik yang dianjurkan ini disertai oleh para saintis dan penyelidik daripada pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Badan-Badan Bukan Kerajaan serta individu yang mempunyai minat khusus terhadap bidang pengurusan hutan serta kepelbagaian biologi hutan.

Objektif ekspedisi ini antaranya adalah untuk menyediakan platform kepada kumpulan pakar dan penyelidik membentang dan membincangkan hasil penemuan kajian dalam aspek fizikal kawasan, sumber biodiversiti dan produk eko-pelancongan yang diperolehi di TER Mossy Forest, Cameron Highlands, Pahang.

Selain itu dapat memperkaya dan mengemaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diterokai di dalam TER Mossy Forest.

Pembukaan Kawasan Pendakian Dan Aktiviti Rekreasi Di Dalam Hutan Simpanan Kekal Daerah Temerloh/Bera

Sukacita dimaklumkan bahawa kawasan pendakian dan aktiviti rekreasi di dalam HSK Daerah Temerloh/Bera akan dibuka mulai 27 Februari 2023.
Semua pendaki adalah diminta untuk mendapatkan Permit Memasuki Hutan Kekal dari Pejabat Hutan Daerah Temerloh/Bera bagi melakukan sebarang aktiviti di dalam HSK Daerah Temerloh/Bera.
Pendaki adalah digalakkan untuk mengunakan perkhidmatan Malim Gunung yang berdaftar dengan Pejabat Hutan Daerah Temerloh/Bera dengan nisbah 1:7.

Ops Bersepadu SJR Bersama JPN Selangor Dan PDRM

Pada 23 dan 24 Februari 2023 satu operasi secara bersepadu melalui Sekatan Jalan Raya telah dijalankan di sekitar daerah Raub, Pahang dan daerah Hulu Selangor, Selangor.
Operasi yang melibatkan kakitangan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor serta pihak PDRM ini dijalankan selama 24 jam dan telah menjalankan semakan terhadap pelbagai jenis lori yang membawa muatan kayu balak.

Objektif operasi ini adalah bagi mengesan sekiranya terdapat lori yang membawa muatan kayu balak secara haram, menggunakan pas pemindah palsu, tidak mematuhi Garis Panduan Muatan Kayu Balak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia selain meningkatkan hubungan kerjasama antara agensi yang terlibat.
 
Operasi ini ditangguhkan pada jam 12.00 tengah hari pada 24 Februari 2023.