Skip to main content

Pembukaan Semula Kawasan Hutan Simpanan Kekal Daerah Jerantut Untuk Aktiviti Rekreasi

Sukacita dimaklumkan bahawa PHD Jerantut telah membuka semula kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) untuk aktiviti rekreasi bermula pada hari ini 25 Februari 2023 berikutan keadaan cuaca yang telah kembali normal di daerah Jerantut.

Kempen Mission GreenPossible: 100 Million Trees by 2025

Kempen Mission GreenPossible: 100 Million Trees by 2025 telah dilancarkan pada 26 Oktober 2021 oleh Kumpulan Touch 'n Go (TNG) melalui Touch 'n Go eWallet bersama Yayasan Hijau Malaysia dengan sasaran untuk mengajak semua rakyat Malaysia menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar dan menanam lebih banyak pokok di negara ini.

Melalui kerjasama ini, pengguna boleh menderma dengan menggunakan aplikasi Touch 'n Go eWallet untuk mengimbas kod QR yang disediakan.

Setiap sumbangan akan menyumbang ke arah pertumbuhan pokok maya yang boleh dilihat melalui web atau aplikasi.

Bagi setiap 100% pokok maya yang ditanam, sekumpulan pokok sebenar akan ditanam oleh Yayasan Hijau Malaysia. Menarik, bukan?

Jom sama-sama menyokong kempen Mission GreenPossible: 100 Million Trees by 2025!

Ketahui lanjut di: https://www.touchngo.com.my/csr/mission-green-possible

Konservasi Denai Dan Membersihkan Jalur Pendakian Siri 1/2023 - Gunung Tapis Dan Gunung 3 Beradik

Pejabat Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang serta Persatuan Malim Gunung Pahang telah menganjurkan program Konservasi Denai Laluan Pendakian Siri 1/2023 pada 18 hingga 20 Februari 2023. Program ini turut disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dan Persatuan Malim Gunung Pahang.

Seramai 13 orang peserta terlibat dalam program pada kali ini.

Antara objektif utama program ialah:

  1. Memastikan jalur laluan selamat dan boleh digunakan untuk aktiviti trekking dan pendakian selepas ini.
  2. Mengenalpasti tapak helipad dan ‘winching’ bagi tujuan penyelamatan menggunakan helikopter.
  3. Pemasangan tali keselamatan di laluan jalur yang sukar.
  4. Pemasangan tag penanda laluan pantul cahaya di sepanjang laluan.
  5. Pembersihan jalur daripada pokok dan dahan yang telah tumbang serta membersihkan sisa pokok tumbang yang menghalang laluan.

Pembukaan Kawasan Pendakian Dan Aktiviti Rekreasi Di Dalam Hutan Simpanan Kekal Daerah Cameron Highlands

Sukacita dimaklumkan bahawa kawasan pendakian dan aktiviti rekreasi di dalam HSK Daerah Cameron Highlands akan dibuka mulai 20 Februari 2023.
 
Semua pendaki adalah diminta untuk mendapatkan Permit Memasuki Hutan dari Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands bagi melakukan sebarang aktiviti di dalam HSK Daerah Cameron Highlands.
 
Kuota bagi setiap gunung di HSK Daerah Cameron Highlands adalah seramai 60 orang sehari tidak termasuk Malim Gunung. Pengecualian hanya diberikan di Gunung Berembun sahaja. Tiada pendakian bermalam yang dibenarkan.
 
Pendaki adalah digalakkan untuk mengunakan perkhidmatan Malim Gunung yang berdaftar dengan Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands dengan nisbah 1:7.

Program Penanaman Pokok sempena Hari Radio Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023

Program Penanaman Pokok sempena Hari Radio Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 telah diadakan pada 13 Februari 2023 di Pantai Kempadang, Kuantan.
Program ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah Penyiaran iaitu Yang Berusaha Encik Mohd Suhaimi bin Sulaiman.

Turut serta adalah pelajar dari Universiti Malaysia Pahang, Kolej Poly Tech Mara, Giat Mara Kuantan, Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kolej Yayasan Pahang Advance Skills, Kolej Komuniti Paya Besar, Pahang Skill Development, Tadika Cahaya Iman Cawangan Kuantan dan SWCorp serta Alam Flora. Lebih kurang seramai 500 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program ini dengan jumlah tanaman pokok sebanyak 1,000 anak pokok dari jenis Rhu Pantai.