Skip to main content

Kejohanan Sukan Persahabatan PEKSJAP vs PEKSPER

Kejohanan Sukan Persahabatan PEKSJAP menentang PEKSPER antara Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (PEKSJAP) dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (PEKSPER) telah berlangsung pada 4 hingga 5 Februari 2023 di Padang Awam Kampung Kolam, Kuala Rompin yang menyaksikan PEKSJAP muncul sebagai johan keseluruhan.

Sukan yang dipertandingkan pada kejohanan ini adalah golf, karom, ping pong, bola tampar (lelaki dan wanita), futsal padang, bola jaring, bola sepak dan tarik tali. PEKSPER telah memenangi acara bola tampar wanita, futsal padang dan tarik tali manakala acara lain dibolot oleh PEKSJAP.

Tahniah dan syabas kepada semua pemain dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Perhutanan Negeri Pahang atas sokongan padu serta kepada Pengarah Perhutanan Negeri Perak dan seluruh warga kerjanya yang sudi bertandang ke Pahang pada kali ini.

Konservasi Denai Pendakian di Cameron Highlands Siri 1/2023

Pada 28 Januari 2023 (Sabtu) Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands dengan kerjasama Persatuan Malim Gunung Cameron Highlands telah menganjurkan program Konservasi Denai Pendakian Siri 1/2023. Program ini turur disertai oleh Angkatan Pertahanan Awam Cameron Highlands dan Bolt Event.

Seramai 69 orang peserta telah menyertai program pada kali ini. Peserta dipecahkan kepada 3 kumpulan yang meliputi 3 laluan denai pendakian (1 denai Gunung Brinchang Barat, 2 denai Gunung Berembun). Antara aktiviti yang dilakukan adalah pemasangan tali keselamatan di kawasan berbahaya, pemasangan jaring keselamatan di kawasan curam serta pembersihan denai dari pokok dan dahan yang telah tumbang.

Program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang untuk meningkatkan keselamatan denai pendakian bagi mengelakkan berlakunya kecederaan kepada pendaki kelak.

Misi Amal Kemboja

Pada 20 hingga 23 Januari 2023, Persatuan Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (PEKSJAP) telah menganjurkan Misi Amal ke Negara Kemboja.
Sejumlah barangan sumbangan yang terdiri daripada pakaian, sejadah, Al-Quran dan lain-lain barangan keperluan harian telah berjaya diserahkan kepada Imam Surau Kg. Tribang, Phnom Penh, selain melihat sendiri pembinaan semula surau yang terjejas akibat banjir tahun sebelumnya.

Sumbangan daripada ahli PEKSJAP dan PUSPANITA JPNP ini telah disampaikan oleh Dato' Dr. Mohd Hizamri bin Mohd. Yasin, Pengerusi PEKSJAP serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Rombongan lawatan turut dibawa ke Choeung Ek Genocidal Center, Russian Market, Central Market dan Angkor Wat sebelum pulang ke tanah air.

Perutusan Pengarah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Selamat Datang dan terima kasih kepada kerana melayari Portal Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pertamanya, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan-Nya, JPNP dapat mewujudkan portal yang bermaklumat agar bermanfaat kepada para pengunjung ke arah perkhidmatan awam dengan lebih cekap dan berkesan selaras dengan teknologi semasa khususnya dalam konteks menyokong pencapaian matlamat Kerajaan Elektronik. Sesungguhnya usaha-usaha ke arah memanfaatkan Teknologi Internet melalui penggunaan laman web amatlah penting dalam proses perekayasan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan di jabatan ini. Melalui proses ini perolehan maklumat dan perkhidmatan dalam talian dapat disediakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Sebagai agensi peneraju dalam pengurusan sumber hutan dan sektor perhutanan Negeri Pahang, JPNP akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Kerajaan dan masyarakat. Selaras dengan perkembangan semasa, kawasan hutan tidak lagi diuruskan bagi maksud pengeluaran sumber, sebaliknya lebih kepada pengurusan perkhidmatan hutan yang penting untuk kehidupan manusia, flora dan fauna serta alam sekelilling amnya. Bagi tujuan itu, JPNP sentiasa berusaha bagi memastikan sumber hutan negeri, khususnya yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal diurus, dipelihara dan dibangunkan secara berkekalan dengan mematuhi acuan perundangan, peraturan dan hala tuju yang ditetapkan oleh Kerajaan. Penekanan akan turut diberikan kepada kecekapan dan keberkesanan mutu perkhidmatan yang lebih baik terutama di kawasan Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri di dalam Hutan Simpanan Kekal.

Selain daripada itu, JPNP juga berperanan memproses permohonan lesen industri berasas kayu, mengurus dan mempromosikan kawasan rekreasi/hutan lipur, mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan ke atas membanteras kegiatan pembalakan haram serta memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan hutan.

Dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sedia ada, saya sangat mengalu-alukan sebarang komen, cadangan atau pandangan membina dari pengunjung portal ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JPNP di atas komitmen, keazaman dan semangat kerja keras berpasukan yang telah dizahirkan dalam merealisasikan misi dan wawasan jabatan sebagai satu agensi terunggul dalam menguruskan dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan.

Harapan saya agar Portal Rasmi JPNP akan menjadi wadah rasmi dua hala dalam penyampaian maklumat yang lebih berkesan serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga tahun ini akan menjadikan kita semua penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab demi memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara tercinta.

Akhir kata, semoga portal ini dapat menjadi wadah dalam menyediakan dan menyebarkan maklumat kepada orang ramai sekaligus memperkenalkan serta mempromosikan keindahan alam semulajadi Negeri Pahang kepada dunia.

Selamat melayari Portal Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Sekian, terima kasih.

YH DATO' ZAINUDDIN BIN JAMALUDDIN (DIMP., AMP.)
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang

Program Perhimpunan Bulanan Warga JPNP Bil 1 Tahun 2023

Program Perhimpunan Bulanan Bil 1 Tahun 2023 dan Majlis Penyampaian Amanat Pengarah Perhutanan Negeri Pahang telah diadakan pada di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong. Pada majlis ini, Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Dato' Dr. Mohd Hizamri bin Mohd Yasin telah menyampaikan amanat tahun baru kepada seluruh kakitangannya.

Beliau telah merakamkan penghargaan kepada semua atas pencapaian signifikan tahun 2022. Antaranya ialah penganjuran Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan, menjadi tuan rumah kepada Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 (MFC), melaksanakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui program Pahang Pride Kid, meningkatkan usaha pemulihan Rizab Biosfera Tasik Chini serta kejayaan usaha penguatkuasaan.

Pada tahun ini, Jabatan telah menetapkan beberapa sasaran (KPI) yang perlu dicapai mengikut perancangan. Beliau turut mengingatkan kakitangannya untuk menjaga integriti dalam menjalankan tugas.

Dalam majlis sama, turut diadakan sesi menandatangani Aku Janji Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (SFM) oleh kesemua kakitangan gred G29 dan ke atas. Selain itu, YH. Dato' Dr turut menyampaikan sumbangan PEKSJAP bagi bantuan persekolahan anak kakitangan berjumlah RM60,300. Turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Pekerja Terbaik bagi bulan November dan Disember 2022 masing-masing seramai 15 dan 16 orang.