Skip to main content

Kerjasama JPNP dalam Program GIVI Rimba Raid Taman Negara 2022

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Tourism Pahang telah bekerjasama dalam program GIVI Rimba Raid Taman Negara 2022 anjuran Rimba Adventure pada 24 September 2022. Perlumbaan yang disertai oleh 241 pelumba ini telah melalui trek dalam Hutan Simpan Tekai Tembeling selain dari tanah persendirian penduduk setempat.

 

Sempena acara ini turut diadakan ialah aktiviti penanaman pokok di Bukit Awan yang terletak di laluan utama menghala ke Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut. Ia telah dirasmikan oleh YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhamad Iskandar dan turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Jerantut serta Ketua-ketua Jabatan di daerah Jerantut.

 

Sebanyak 20 anak pokok Meranti Temak Nipis telah ditanam di kawasan lapang berhampiran kawasan parkir sekitar Bukit Awan. YAM Tengku juga turut melawat sekitar kawasan Bukit Awan yang terletak di dalam Komptartmen 1, Hutan Simpan Tekai Tembeling (Tambahan) termasuk infrastruktur yang dibina oleh JPNP bagi keselesaan pengunjung di situ.

Aktiviti Penghijauan Sekitar Bulatan Mempaga, Lebuhraya CSR, Bentong

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menjalankan aktiviti penanaman pokok di sekitar Bulatan Mempaga, Lebuhraya CSR, Bentong. Sebanyak 180 pokok telah ditanam terdiri daripada spesies Tacoma (30 pokok), Asoka (70 pokok) dan Merawan siput jantan (80 pokok) pada 20 hingga 23 September 2022.

 

Pelaksanaan penanaman pokok di kawasan ini antaranya bertujuan untuk menjadi elemen kawalan hakisan dan pelindung cerun serta mengawal kesan bunyi bising dan asap kenderaan.

Selain itu ia secara tidak langsung dapat mengekalkan kawasan hijau di kawasan sekitar dan memelihara alam sekitar dengan menyediakan habitat kepada kehidupan fauna kecil.

 

Semoga usaha ini dapat merakyatkan komitmen dan semangat pengekalan kawasan litupan hijau sebagai satu agenda nasional.

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Ulu Cheka, Jerantut

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan kerjasama Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengumpul seramai lebih 30 orang penyelidik daripada pelbagai agensi dan institusi yang bergabung dalam Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi bermula 17 hingga 21 September 2022.

 

Ekspedisi ini disusun untuk merungkai kekayaan sumber biodiversiti dan potensi produk ekopelancongan baharu yang terdapat di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan), Ulu Cheka, Jerantut.

Ia telah berakhir dalam satu majlis penutup yang disempurnakan oleh Encik Rosilan bin Said, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) pada 21 September 2022 di Lang Buana Resort, Ulu Cheka.

 

JPNP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh tulang belakang program ini:

 

1. Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

 

2. Semua peserta penyelidik dari IPTA, NGO dan badan swasta.

 

3. Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka (PAMUC).

 

4. Ketua komuniti dan penduduk Ulu Cheka.

 

5. Medal Lion Creative selaku pengurus lojistik yang dilantik, merangkap rakan strategik kepada jabatan, penyelidik dan PAMUC.

 

6. Dan semua petugas serta individu yang menyokong sepanjang perjalanan ekspedisi ini secara langsung atau tidak langsung.

 

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka 2022 ini menjadi satu penanda aras baharu bagi JPNP melaksanakan usaha ke arah eko-pelancongan yang mampan.

Semua hasil kajian dan info yang diperolehi akan dikumpul secara bersama oleh semua pihak dan seterusnya diolah menjadi cadangan-cadangan dalam pelbagai bentuk penyampaian. Antaranya ialah pelan pembangunan eko-pelancongan yang lebih bersasar serta mengutamakan aspek konservasi, pelan pemuliharaan, bahan-bahan promosi dan sebagainya.

 

Dari masa ke semasa usaha-usaha untuk Ulu Cheka ini akan terus diberikan komitmen supaya ianya kekal menjadi fokus utama JPNP. Satu permulaan penuh sinar harapan ke arah pelaksanaan yang bakal menjulang misi dan visi JPNP untuk negeri Pahang.

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Secara TBBK

Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan kepada Kumpulan Pelaksana yang telah berkhidmat 13 tahun dan lebih telah diadakan di Tingkat 5, Kompleks Tun Razak, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

 

Seramai 20 orang kakitangan telah menerima TBK1 (genap 13 tahun pertama) dan 2 orang kakitangan menerima TBK2 (genap 13 tahun kedua).

Majlis Penyerahan Projek Bangunan Baru Pejabat Hutan Daerah Rompin

Pada 15 September 2022 telah berlangsung Majlis Penyerahan Projek Bangunan Baru Pejabat Hutan Daerah Rompin yang telah disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Pahang.

 

Majlis berjalan dengan lancar dengan dihadiri oleh warga Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan kontraktor-kontraktor yang terlibat. Bangunan baru ini dijangka akan mula beroperasi bermula Februari 2023.